Hampir lima bulan bergelar ibu tunggal semula, bekas isteri Da’i Farhan iaitu Noorainul Naqim Mohd Radzi atau lebih dikenali sebagai Dr Erin meminta mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya agar membatalkan niat tersebut.
Menurutnya, tidak ramai lelaki yang mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan ketua dalam keluarganya. Malah, dia sudah penat untuk membalas mesej daripada lelaki yang mahu mengenalinya di media sosial.
BACA: Perjalanan Aura Ke-19 Sudah Berakhir, Dr Erin Mula Hidup Baru
“Saya ni seorang wanita umur 40, mak dan juga ayah kepada 8 orang ank yang saya perlu bagi segala-galanya.
“Sakit demam pun saya seorang je yang perlu fikir dan jaga sebab saya tak ada adik-beradik, saudara-mara, orang tua mahupun pembantu yang saya boleh harap dan minta tolong untuk saya melakukan 1,001 macam kerja dan tanggungjawab dalam hidup saya.
“Orang luar duk nampak saya ni macam best je hidup dan ramai sangat nak cuba mengenali saya. Bapa kandung pun lepas tangan ni kan pula bapa tiri. Saya dah penat sangat nak bagi respon pada yang duk DM tu ,” katanya.
Menerusi perkongsian di Instagram itu, Erin turut meminta agar lelaki yang berhasrat untuk mendekatinya supaya mencari anak dara atau janda yang kurang tangungjawab kerana dia merupakan seorang wanita yang banyak komitmen.
“Maaf bukan mudah senang nak senang. Tak hadap lagi bolehlah awak-awak semua kata ‘saya terima seadanya saya’.
“Jadi lebih baik cari anak dara atau mak janda yang kurang tanggungjawab. Saya ni Allah ciptakan untuk diberi tanggungjawab yang sangat besar bukan untuk hidup bersenang lenang dan bukan takat kena jadi ibu dan ayah malah kena jaga kebajikan ramai orang lagi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Erin turut memberikan amaran kepada lelaki di luar sana agar tidak menganggunya lagi kerana dia mahu memberi fokus untuk menjaga anak-anaknya meskipun sendirian.