fbpx

Dolla Teringin Nak Buat Persembahan Di Kelantan

Penampilan ahli kumpulan wanita, Dolla sering kali dikecam netizen apabila dilihat tampil agak keterlaluan dan ada yang mengatakan hanya menjual imej seksi semata-mata berbanding bakat.

Memetik Kosmo, Dolla mengimpikan untuk membuat  persembahan pentas di semua negeri di Malaysia termasuk destinasi yang terkenal dengan jolokan Negeri Serambi Mekah iaitu negeri Kelantan.

BACA: Pakai Skirt Pendek, Netizen Sindir Sabronzo Dolla

Meskipun ada pihak menyifatkan mereka memberikan pengaruh tidak baik kerana penampilan seksi, Dolla berkata mereka hanya ingin berkarya dan memberi mesej positif kepada orang ramai.

“Sejujurnya, untuk persembahan pentas, kami hanya ikut label punya perancangan. Kalau diberi peluang, kami akan beri persembahan yang terbaik,” kata salah seorang ahli kumpulan, Syasya.

Menurut salah seorang ahli kumpulan itu iaitu Sabronzo yang berasal dari negeri tersebut berkata dia sudah beberapa kali bercuti di negeri patuh syariah itu.

“Rasanya kita pernah ke Kelantan sebelum ini. Namun atas urusan bercuti (bukan buat persembahan pentas). Saya asal dari kelantan,” kata Sabronzo.

Dalam pada itu, Dolla berkata mereka menyedari budaya, pemikiran atau undang-undang di beberapa tempat atau individu dan tidak pernah terfikir untuk menjolok sarang tebuan serta menghormati keputusan pihak lain.

“Kami faham dan hormat semua orang punya pendapat atau nilai kehidupan. Mereka punya pandangan dalam beberapa perkara (berkaitan agama).Kami takkan cuba nak paksa pandangan kami dalam diri sebilangan orang. Hormat keputusan orang.

“Kami juga berpendapat, kita semua perlu hormat gaya hidup masing-masing sebagai rakyat yang baik. Kalau suka, teruskan tengok dan sokong dan kalau sebaliknya, toleh tempat lain.

“Bagaimanapun, satu fakta yang tak boleh dinafikan adalah Malaysia sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum. Dolla sendiri, kami ada Melayu dan Cina namun masih boleh berdiri teguh sebagai satu kumpulan sebab itulah istimewanya negara ini,” kata Dolla.