fbpx

“Doakan Semoga Hasrat Saya Untuk Kembali Hamil Jadi Kenyataan”

Baru-baru ini timbul spekulasi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikatakan sudah berbadan dua apabila tular video aksi spontan anaknya, Siti Aafiyah beberapa mencium perutnya.

Mengulas mengenai pekara itu, Siti meminta peminat mendoakan impian menimang cahaya mata kedua menjadi kenyataan dan dia tidak akan menyembunyikan berita gembira apabila tiba masanya nanti.

BACA: Aafiyah Cium Perut, Siti Nurhaliza Hamil Anak Kedua?

“Doakan semoga hasrat saya untuk kembali hamil menjadi kenyataan. Insya-Allah, apabila betul-betul berlaku, saya akan berkongsi berita gembira dengan peminat,” katanya kepada BH Online.

Kini dilihat jarang muncul dalam pelbagai acara berbanding sebelum ini, Siti menegaskan jadual hariannya masih sama dan dia tidak menghilang seperti yang didakwa.

“Ada ketika, saya buat kerja dari rumah sambil melayan Siti Aafiyah. Jika ada tugasan yang memerlukan saya berada di pejabat atau lokasi lain, saya tetap keluar. Saya ada dan tak hilang ke mana pun,” ujarnya.

Februari lalu, Siti menjalani pembedahan kecil sebagai persediaan untuk mengandung. Prosedur itu perlu dilakukan bagi menggunakan kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) seperti yang dilakukannya ketika mengandungkan Siti Aafiyah, tiga tahun lalu.