fbpx

Dituduh Tipu Duit Peminat, Izzue Islam Buat Laporan Polis

Baru-baru ini, penyanyi dan pelakon Izzue Islam dikejutkan dengan berita dia dituduh menipu duit peminat yang mendakwa telah membeli telekung daripadanya menerusi laman Facebook.

Lebih mengejutkan peminat itu semua berasal dari Indonesia dan mendakwa telah mengalami kerugian lebih 20 juta rupiah (RM6,000).

Menurut Izzue, ada pihak menghantar mesej kepadanya untuk menuntut telekung yang dibeli daripadanya. Namun, setelah disiasat rupanya ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuat akaun Facebook palsu menjual telekung menggunakan wajah dan namanya.

“Saya terkejut apabila seorang demi seorang datang kepada saya dan mula ‘direct message’ di akaun Instagram untuk menuntut telekung yang telah dibeli daripada saya. Apa yang peliknya, mereka semua berasal dari Indonesia.

“Sehingga ada yang sanggup merayu meminta saya pulangkan duit mereka. Setelah disiasat, mereka membuat pembelian di akaun facebook (fb) palsu yang menggunakan nama Lizzue Izzue Lislam,” katanya kepada Astro Gempak.

Berikutan itu, Izzue membuat laporan polis untuk membersihkan namanya. Izzue turut mengingatkan kepada pengguna agar semak dahulu sebelum membeli dan tidak mudah terpedaya dengan akaun palsu di media sosial.