Ditahan Bukan Kes Dadah, Bawa Barang Lambang Terlarang – Yassin

Pelawak Yassin Yahya akhirnya membuka mulut menceritakan kejadian menimpanya apabila dia ditahan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Arab Saudi.

Menerusi podcast bersama Saiful Apek, Yassin berkata kurang ilmu berkaitan perjalanan ke Tanah Arab jadi antara salah satu faktor ditahan dan bukan disebabkan penyalahgunaan dadah.

BACA: “Bukan Menghilang, Saya Bercuti” – Yassin Muncul Dalam Live TikTok

“Pada suatu hari ada sidang media jemput 25 artis veteran, waktu itu ada seorang datuk dari Pulau Pinang nak taja kami semua tunai umrah.

“Saya teruja mungkin Allah jentik hati saya ini lah masanya, nak tunggu guna duit sendiri bila lagi. Orang taja jadi mengapa kita taknak pergi. Masa itu saya dapat ‘job’, tapi saya fikir nak ambil ‘job’ atau nak pergi umrah.

“Saya tak tahu nak pergi mana satu. Saya tanya isteri dan fikir sama ada sudah sedia atau belum mungkin inilah niat yang saya dah pasang lama. Saya hubungi ibu dan beritahu ada insan yang nak taja saya tunai umrah.

“Emak cakap Alhamdulillah, semalam  ibu saya baru doa minta salah seorang anak dia dapat pergi umrah. Bila dengar macam tu, saya terus yakin dan nak pergi umrah,” katanya.

Menurut Yassin dia terkilan tidak sempat mengikuti kursus umrah dan hanya membuat persediaan dengan belajar menerusi YouTube. 

“Saya sedikit terkilan sebab tak pergi kursus umrah dan saya hanya buat persediaan dengan hanya mempelajarinya di YouTube sahaja,” katanya.

Tambah Yassin lagi, dia bertolak ke Jeddah pada 27 Oktober tahun lalu, tapi tidak menyangka gurauan bersama ibunya menjadi kenyataan.

“Sebelum berlepas, saya bergurau dengan emak, ‘saya mungkin extend’. Emak terkejut, tapi saya terlepas cakap tanpa sengaja, tapi nampaknya masin mulut.

“Penerbangan saya memakan masa lapan jam perjalanan ke Jeddah. Sebelum bertolak saya ada fikir macam mana nak hisap rokok bila kat sana nanti jadi saya bawalah sekotak, saya beli rokok kertas di lapangan terbang.

“Saya tak tahu sebab tiada rujukan jadi saya tak tahu peralatan apa yang tak boleh. Sampai di Jeddah, beg diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak kastam nampak ada sesuatu dan arahkan buka beg saya.

“Dia pegang benda agak mencurigai, saya nampak dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang marijuana (bahan terlarang). Mereka terus geledah beg dan anggap semua barang ini mencurigakan,” dakwanya.

Yassin berkata lagi, dia turut dibawa ke bilik dan badan serta begnya diselongkar kali kedua, malah dia turut memberitahu untuk membuat ujian air kencing jika pihak tersebut tidak percaya.

“Saya tak tahu apa yang mereka buat. Saya tanya kenapa dia geledah beg saya dan beritahu itu hanyalah rokok. Saya juga ada beritahu kalau tidak percaya boleh buat ujian air kencing,

“Saya tak mahu mutawif tunggu saya dengan terlalu lama, saya suruh mereka tinggalkan sebab tak mahu mereka terlepas penerbangan seterusnya ke Madinah,” katanya.

Dalam pada itu, Yassing berkata dia dibawa ke balai polis untuk memberi keterangan namun tidak dilepaskan apatah lagi tidak diberi peluang untuk menghubungi sesiapa serta masalah untuk berkomunikasi.

“Habis je soal siasat, mereka tutup beg saya dan saya ingat mereka nak bawa saya semula kembali kepada kumpulan jemaah tetapi pihak poli gari tangan saya dan suruh ikt naik kenderaan polis. Saya terus dibawa ke balai polis di Jeddah.

“Sampai balai polis, saya tidak dibenarkan untuk menghubungi sesiapa apatah lagi keluarga, dan paling menjadi masalah kami berkomunikasi macam ‘ayam dan itik’.

“Dalam perjalanan, saya hanya ada Allah sahaja, saya berserah dan meminta doa serta tak putus berzikir. Sampai sana, beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit diambil, saya dimasukkan ke lokap khas untuk dadah,” katanya.

×