fbpx

Dipilih Jadi Duta Tudung, Nora Danish Tak Kisah Dikecam

Sering tampil dengan imej seksi, bagaimanapun tindakan pelakon Nora Danish tampil mempromosikan jenama tudung baru-baru ini mengundang komen negatif netizen.

Menurut Nora, ada netizen mengatakan dia tidak sesuai dipilih menjadi duta tudung berkenaan serta ada yang mempersoalkan mengapa pilih selebriti tidak bertudung untuk promosikan tudung.

BACA: Netizen Dedah Yuran Sekolah Anak Nora Danish Hampir RM40,000 Setahun

Tidak peduli dengan kecaman netizen, Nora percaya pada rezeki apabila dia dipilih menjadi duta jenama tudung. Ujarnya lagi, mana tahu suatu hari nanti dia terbuka hati untuk bertudung.

“Menjayakan kempen tudung itu atau sebaliknya, saya percaya itu dinamakan rezeki. Saya percaya membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung ini tidak pernah ada salahnya.

“Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung). Semua ini sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan. Ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung.

“Jadi saya sudah terbiasa dengan situasi sebegitu. Kecaman demi kecaman itu lumrah kehidupan manusia. Ia boleh terjadi bukan saja kepada artis tetapi semua golongan termasuk pendakwah dan ahli politik,” katanya.

Kata Nora lagi, baginya seksi itu bersifat subjektif kerana apa yang penting baginya adalah dia mahu menjadi diri sendiri.

“Bagi saya seksi atau sebaliknya, ia terletak atau bergantung kepada mata yang memandangnya. Kalau baik yang dilihatnya… maka baiklah jadinya. Kalau gatal pandangannya, maka gatallah.

“Yang penting, saya hanya ingin menjadi diri sendiri. Tetapi, saya nak ucap terima kasih kepada netizen yang memberi komen membina. Saya sayang anda semua.

“Insya-Allah, doa baik-baik. Bagi kelompok netizen yang tahu dan asyik nak kecam saja, hentikanlah. Perbuatan buli siber tidak baik sebenarnya,” katanya.