fbpx

Dilabel Tak Cantik, Shaza Bae Dah Lali Dengan Kritikan

Pelakon yang kini meningkat naik, Shaza Bae mengakui dia sering menerima kritikan mengenai paras rupanya dan dikatakan tidak layak bergelar pelakon kerana tidak cantik.

Memetik Kosmo, juara Dewi Remaja 2019/2020 itu juga mendedahkan dia pernah dikatakan sebagai pemenang yang paling tidak cantik.

“Saya pernah menerima kritikan daripada beberapa pihak cakap saya tidak cukup cantik untuk jadi seorang pelakon.

“Selepas kejadian, saya diamkan diri sahaja cuma lebih bersemangat untuk bersiap cantik-cantik apabila keluar ke mana-mana,” katanya.

Bagaimanapun, Shaza Bae berkata kritikan dilemparkan tidak mematahkan semangatnya sebaliknya membuatkannya untuk menunjukkan yang terbaik.

“Netizen juga pernah cakap saya Dewi Remaja paling tidak cantik namun sudah lali dengan kritikan orang. Meskipun digelar tidak cantik, saya tetap akan menjaga penampilan setiap kali keluar. Bagi lakonan pula, saya akan pastikan dapat buat betul-betul dalam menjayakan sesebuah watak,” katanya.

Dalam pada itu, Shaza berkata dia sudah persiapkan diri untuk berdepan dengan komen-komen negatif netizen sebelum masuk ke dalam industri seni.

“Saya sendiri sudah bersedia dengan kritikan sebelum masuk ke dalam industri. Lagipun, saya lebih rela dikritik tentang wajah berbanding kredibiliti saya. Mungkin apabila orang cakap saya tidak cukup berbakat dalam lakonan saya akan lebih sakit hati,” katanya.