Dikecam Ajuk Raisa Cakap Bahasa Inggeris, Nabil Anggap Netizen Maksum

Dikecam susulan gurauannya terhadap penyanyi Indonesia, Raisa pada konsert minggu kelapan Gegar Vaganza musim kesembilan, pengacara Nabil Ahmad menganggap individu tersebut kurang faham konsep program hiburan.

Memetik Kosmo, Nabil berkata dia enggan melayan kecaman netizen itu yang seolah sengaja mencari salahnya. Ujarnya, Raisa dan pihak pengurusannya sedia maklum ianya hanya usikan.

BACA: Ajuk Raisa Guna Bahasa Inggeris, Nabil Ahmad Dikritik Tak Profesional

“Kalau saya rasa perbuatan itu menghina atau memalukan apatah lagi kepada tetamu, saya sendiri akan terus meminta maaf.

“Mereka yang pandai kecam ini tahu ke proses sebelum sesebuah rancangan televisyen dirakamkan, lebih-lebih lagi siaran langsung seperti GV? Semua peserta, hos, juri, kru dan selebriti undangan akan diberikan penerangan bagaimana program berjalan,” katanya.

Tiada niat untuk mendabik dada, Nabil berkata sepanjang sembilan tahun mengendalikan GV dia tidak pernah mahu mengenakan sesiapa serta tidak menjadi kudis buat sesiapa yang ingin mengecamnya.

“Kalau masih mahu kutuk saya terpulanglah. Mungkin mereka maksum sampai membodoh-bodohkan orang. Itu bukan cara menegur, tapi bagi saya tak jadi kudis pun sebab mereka tak tahu senario belakang tabir,” katanya.

×