Penyanyi Nabila Razali tampil memohon maaf selepas dia dan ibunya disabit bersalah memandu kereta tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans pada Januari lalu.
Dalam sebuah kenyataan, Nabila mengakui kesalahan tersebut serta menjelaskan kereta berkenaan telah dihadiahkan kepada ibunya namun masih belum ditukar hak milik pada geran kenderaan berkenaan.
BACA: Gementar Sambut Ramadan Pertama Sebagai Isteri, Nabila Razali Masak Sahur 2 Pagi
“Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan kepada ibu dan masih atas nama saya. Jadi, apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu, sekali gus sebagai pemilik saya turut terpalit.
“Saya akui pada hari kejadian kereta itu memang dipandu ibu. Perkara ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS),” katanya.
Dalam pada itu, Nabila juga berharap apa yang berlaku itu dapat memberi pengajaran kepada orang lain serta sekali lagi memohon maaf.
“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan sahaja buat saya dan ibu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi, sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf,” katanya.
Semalam, Nabila dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah kerana memandu kereta tanpa LKM dan perlindungan insurans.
SUMBER: mStar Online