Peguam syarie yang mewakili Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan pelakon itu sudah memberi arahan untuk meneruskan memfailkan perceraian terhadap suami, Farid Kamil.
Memetik Kosmo, Akberdin berkata pihaknya akan memfailkan perceraian itu dalam waktu terdekat di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
BACA: Farid Kamil, Diana Danielle Bakal Bercerai Kali Kedua
“Betul, anak guam saya sudah arahkan untuk teruskan (failkan rujuk dan perceraian). Diana juga sudah beri arahan untuk memfailkan dan saya sedang menyediakan dokumen berkaitan proses rujuk dan cerai sekali. Kami akan failkan dalam bila-bila masa sahaja,” katanya.
Sementara itu, Akberding berkata anak guamnya itu sudah nekad untuk bercerai dengan Farid dan memberi arahan untuk memfailkan cerai.
“Diana memang sudah tekad dan dia sebenarnya sudah bagi arahan sebelum ini untuk bertindak. Semalam dia bagi arahan untuk ‘proceed’ terus,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang faktor Diana memfailkan perceraian kali kedua, Akberdin berkata akan berkongsikan perkara itu apabila tiba waktunya nanti.
“Pada hari perceraian difailkan nanti, kami akan beritahu, sekarang ini agak sukar nak kongsi. Arahan nak failkan memang sudah ‘confirm’. Jadi, kami akan kongsikan yang lain kemudian,”katanya.
Semalam, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua serta nekad untuk berpisah.
SUMBER: Kosmo