Sudah dua minggu bercerai dengan bekas suaminya, Farid Kamil, pelakon Diana Danielle mengakui kekok bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata.
Memetik Utusan Online, Diana berkata dirinya seorang yang sangat sensitif dan jika dulu segala perkara dapat dikongsikan dengan pasangan.
BACA: Farid Kamil Harap Dapat Bercakap Secara Langsung Dengan Diana Danielle
“Sedikit (rasa kekok). Selama ini semuanya ada pasangan, kita ada seseorang untuk berbincang. Saya ini agak fragile (rapuh) dalaman dan sangat sensitif.
“Namun, ia adalah pilihan dan saya perlu belajar menyesuaikan diri. Saya bersyukur sebab mempunyai sokongan kuat di sekeliling termasuk rakan-rakan media, rakan dan ahli keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Diana meluahkan rasa syukur ujian yang dilalui olehnya tidak seteruk orang lain yang mungkin tiada pekerjaan dan tiada tempat bergantung.
“Saya masih ada karier dan sistem sokongan yang baik. Kesusahan yang saya alami ini masih boleh diuruskan sendiri. Saya hargai semua sokongan. Kalau saya fokus benda yang tidak baik sehingga jadi stres orang bukan kisah pun,” katanya.
Sementara itu, Diana turut memohon maaf jika ada tindakannya dianggap melanggar tempoh edah selepas bercerai serta bertentangan dengan panduan agama.
“Saya mungkin ada tersilap langkah. Saya minta maaf. Kadang-kadang, saya tak sedar perkara itu sensitif. Saya ambil dan terima segala teguran serta akan memperbaiki diri di masa depan,” katanya.