fbpx

Di Sisi, One Two Jaga, Ungguli ASK2019

Drama ‘Di Sisi’ terbitan Unit Drama TV RTM muncul sebagai pemenang kategori Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Naskhah tersebut turut mengungguli kategori Pengarah Terbaik Drama menerusi Wan Afzam Wan Daud, Lakon Lakon TV Terbaik, Amin Masyur, Penyunting Drama Terbaik, Izar Masuri serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama, Ruzaidi Rahman.

Sementara itu, kategori filem terbaik disandang oleh filem One Two Jaga arahan Namron yang turut mencatat kejayaan besar dalam kategori filem apabila membawa pulang empat trofi.

Selain Filem Terbaik, karya terbitan itu diumumkan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem (Dr. Rosdeen Suboh), Lakon Layar Terbaik (Pitt Hanif, Namron, & Mohd Syafiq) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem (Zahiril Adzim).

Dalam pada itu, pelakon Nabila Huda terus unggul apabila berjaya memenangi kategori pelakon wanita terbaik drama menerusi drama ‘Dia Tidak Berdosa’. Manakala pelakon Diana Danielle pula memenangi kategori pelakon wanita terbaik filem menerusi filem Gol & Gincu Vol.2.

Berikut merupakan keputusan pemenang ASK 2019

Kategori Drama

Drama Terbaik: Di Sisi
Pengarah Terbaik: Wan Afzam Wan Daud (Di Sisi)
Lakon TV Terbaik: Amin Masyur (Di Sisi)
Pelakon Lelaki Terbaik: Faizal Hussein (Samad Tedung)
Pelakon Wanita Terbaik: Nabila Huda (Dia Tidak Berdosa)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ruzaidi Rahman (Di Sisi)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Amyza Aznan (Batik Zakiah)
Drama Rantaian Terbaik: Kamar Kamariah
Drama Rantaian Terbaik (kategori bahasa Cina): Sweet Delicacy
Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian: Zara Zya (Pia)
Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian: Dato’ Fizz Fairuz (Kamar Kamariah)
Drama Komedi Terbaik: Budak Usin
Videografi Terbaik: Junaimeramfizal Rahmat (Telingkah)
Penyunting Terbaik: Izar Masuri (Di Sisi)

Kategori Filem

Filem Terbaik: One Two Jaga
Pengarah Terbaik: Mamat Khalid (Hantu Kak Limah)
Lakon Layar Terbaik: Pitt Hanif, Namron & Mohd Syafiq (One Two Jaga)
Pelakon Lelaki Terbaik: Dr. Rosdeen Suboh (One Two Jaga)
Pelakon Wanita Terbaik: Diana Danielle (Gol & Gincu Vol.2)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Zahiril Adzim (One Two Jaga)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Siti Saleha (7ujuh)