Kerap berulang-alik ke Tanah Suci Mekah sejak hujung tahun lalu, pelakon berbadan sasa, Zul Ariffin berkata hatinya kini senang.

Memetik Utusan Online, Zul berkata bukan niatnya untuk ‘melarikan diri’ dari kontroversi terpalit dirinya sebelum ini sebaliknya dia kini membuat hal sendiri.


BACA: Sertai Program ‘Bachelor’ Berkenalan Dengan 13 Gadis, Zul Ariffin Dikritik Netizen

“Bukanlah nak kata tahun ketenangan sangat. Tetapi ya, saya buat hal sendiri saja sekarang. Banyak ulang-alik ke Mekah, Madinah dan Dubai.

“Bukan tak balik langsung, ada. Balik untuk jalani penggambaran dan kemudian pergi ke Mekah semula. Sebenarnya, tak ada apa sangat hidup saya sekarang,” katanya.

Menurut Zul, dia tenang berada di bumi Mekah dan Madinah sehingga terdetik hasrat menetap disana. Ujarnya, dirinya tidak begitu baik dan dia merasakan lebih selamat menetap di Mekah.


“Saya tak kata diri ini baik. Tetapi rasanya lebih baik dan selamat kalau saya menetap di Mekah atau Madinah. Alahai, sekarang bukan macam dulu, ada duit, baliklah sini semula.

“Sekurang-kurangnya saya boleh elak daripada buat benda-benda bodoh. Daripada melancong ke tempat mengarut dan entah apa-apa yang saya akan buat, baik duduk di Mekah.

“Sampai bila ya tak nak buat benda mengarut? Perlahan-lahan kayuhlah orang kata. Hendak buat perubahan baik ini bukan dalam tempoh satu malam magis itu berlaku. Sekurangnya saya cuba,”katanya.

Ditanya mengenai sambutan Raya, Zul berkata tiada persiapan dilakukan memandangkan arwah ibunya, Robiah Nasir sudah pun tiada.

“Kalau ditanya pasal raya, ya saya raya di sini tahun ini. Tapi tidak balik kampung pun sebab ayah juga ada di ibu negara.

“Arwah mak pun sudah tiada jadi nak kata beraya sangat itu tidaklah. Lepas raya ini pun ada penggambaran yang saya perlu jalani. Ada juga hasrat nak raya di Mekah, tapi belum dapat lagi. Tengoklah macam mana sebab semua ini rezeki dariNya juga,”katanya