Dari Pasir Mas Ke Bukit Mertajam, Rayuan Kerusi Roda Akhirnya Terjawab

Seorang lelaki dari Pasir Mas, Kelantan, akhirnya menerima kerusi roda yang diperlukan untuk kegunaan dirinya dan ibu yang uzur selepas menghantar e-mel memohon bantuan daripada wakil rakyat di Pulau Pinang.

Kisah itu dikongsikan Rosly Yusof, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, menerusi Facebook selepas kerusi roda berkenaan selamat diterima lelaki terbabit.

Menurut Rosly, lelaki berkenaan menghubungi pihaknya melalui e-mel bagi memohon bantuan mendapatkan sebuah kerusi roda untuk kegunaan bersama ibunya yang semakin uzur.

Katanya, lelaki itu mendakwa sudah mengemukakan permohonan kepada pihak zakat di Kelantan serta beberapa wakil rakyat di kawasannya, namun belum menerima sebarang maklum balas.

“Brader ni dari Pasir Mas Kelantan email pada kami untuk mohon kerusi roda kegunaan dia dan ibunya yang sudah uzur.

“Katanya dia dah mohon dari Zakat Kelantan dan YB-YB kawasannya tapi tidak ada jawapan, jadi dia minta tolong kami jika boleh belikan dia sebuah kerusi roda,” katanya.

Rosly berkata, beliau kemudian berkongsi permohonan itu di Facebook dengan harapan ada kenalan di Kelantan yang dapat menghulurkan bantuan kepada lelaki berkenaan.

Jelasnya, langkah itu diambil kerana kos penghantaran kerusi roda dari Pulau Pinang ke Kelantan dianggap tidak berbaloi berbanding harga barangan tersebut.

“Saya masukkan dalam Facebook mungkin ada kawan-kawan Kelantan boleh bantu dia kerana jika nak hantar dari Penang tak berbaloi dengan harga kerusi roda tapi tiada jugak yang membantu,” katanya.

Bagaimanapun, Rosly tidak berputus asa mencari jalan untuk memenuhi permohonan itu sebelum mendapat idea membeli kerusi roda secara dalam talian menerusi platform Shopee.

“Fikir punya fikir teringat oder melalui Shopee.

“Hari ni dah sampai kerusi roda yang dia perlukan dan dia hantar gambar ni pada saya,” katanya.

Perkongsian itu turut disertakan gambar yang dihantar lelaki berkenaan selepas kerusi roda yang diperlukan akhirnya selamat sampai ke tangannya.

×