“Dapat Jaga Mak” – Shiha Zikir Anggap Belum Kahwin Satu Rezeki

Penyanyi Shiha Zikir melihat ianya satu rezeki kerana dapat meluangkan masa bersama serta menjaga ibunya kerana dirinya masih belum berkahwin.

Memetik Utusan Online, Shiha berkata setiap wanita mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga namun dia percaya ianya akan hadir pada waktu yang tepat.

BACA: Shiha & Ieda Zikir Juara Famili Duo 4, Bawa Pulang RM100,000

“Bukan bermaksud apabila sudah berkahwin kita tidak boleh menjaga mak, tetapi tanggungjawab kita akan bertambah kerana perlu membahagikan masa dan perhatian kepada suami serta keluarga. Jadi, Shiha melihat keadaan sekarang sebagai satu rezeki yang sangat besar.

“Apabila orang kata kesian kerana Shiha belum ada rezeki berkahwin, sebenarnya Shiha melihatnya sebagai rezeki kerana belum berkahwin lagi. Kita perlu mengubah cara berfikir supaya hati lebih lapang dan percaya bahawa aturan Tuhan itu sudah cukup indah,” katanya.

Sementara itu, Shiha meluahkan rasa syukur ibunya tidak pernah mendesak mahupun meletakkan tekanan terhadap dirinya untuk segera mendirikan rumah tangga.

“Ibu sangat memahami keadaan Shiha dan memberikan ruang untuk Shiha meneruskan apa yang sudah dirancang. Jadi, Shiha percaya kepada aturan Tuhan dan yakin setiap perkara akan berlaku pada waktu yang terbaik,” katanya.

Sumber: Utusan

×