Menjawab status hubungannya dengan pengacara stesen televisyen Al Hijrah iaitu Hana Ismail, pendakwah selebriti Da’i Syed berkata mereka sedang dalam proses mengenal hati budi.
Memetik Oh Bulan, Syed bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi lanjut serta memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik sahaja.
BACA: “Bukannya Duduk Atas Riba Atau Babak Atas Katil” – Da’i Syed
“Terpulanglah pendapat orang ramai hendak menilai hubungan kami. Saya hanya minta doakan yang terbaik agar dipermudahkan segala urusan.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh bercakap lanjut. Takut nanti apa yang dirancang tidak menjadi. Kami akan beritahu apa yang seterusnya, kemudian. Insya-Allah,” katanya.
Mengulas mengenai foto tular memaparkan dirinya bersama Hana sambil diiringi ibu kedua-dua belah pihak dalam sebuah majlis, Syed berkata itu hanyalah majlis pertemuan dua keluarga.
“Ia adalah majlis pertemuan dua keluarga. Kalau itu adalah majlis yang dianggap (majlis pertunangan), doakan yang terbaik. Tapi boleh dikatakan ia adalah majlis pertemuan dua keluarga. Perkenalan di antara dua keluarga.
“Kami baharu mengenali dua keluarga, kalau sudah disahkan, bermakna kalau betul kami akan ke arah yang baik, kami akan beritahu,” katanya.
Mula berkawan dengan Hana sejak tiga bulan lalu, dalam pada itu, Syed berkata dia sudah bersedia untuk bergelar suami dan mendirikan rumah tangga.
“Insya-Allah saya sudah bersedia untuk berkahwin, cuma sekarang kami dalam tempoh perkenalan dalam dua keluarga. Biarlah kami berkenalan dahulu. Kalau sudah confirm nanti pasti saya akan kongsikan,” katanya.