fbpx

Da’i Syed Bebas Dua Tuduhan Jenayah Seksual

Memetik Harian Metro, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas dan membebaskan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal daripada kedua-dua pertuduhan berkenaan.

BACA: Tertekan Kes Cabul, Da’i Syed Warna Rambut Sebab Nak Move On

“Saya bersetuju dengan hujahan peguam supaya kes ini dilepas dan dibebaskan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes dan wang jaminan (RM25,000) dikembalikan,” katanya.

Pada 10 Disember 2020, Da’i Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berusia 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

Da’i Syed didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.