fbpx

Dafi Mahu Isteri Kelakar, Boleh Buat Dirinya Ketawa Setiap Hari

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-33 baru-baru ini, bapa kepada penyanyi Dafi iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah bertanyakan mengenai calon isteri.

Bagaimanapun, Dafi berkata dia tidak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga memandangkan masih ada impian yang mahu dicapai terlebih dahulu. Kata Dafi lagi, dia juga tidak kisah seandainya ibu bapanya mencarikan pasangan untuk dirinya.

BACA: Ismail Sabri Tak Sabar Jumpa Calon Isteri Dafi

“Hanya gurauan sempena ulang tahun kerana ibu bapa saya bukan yang jenis asyik bertanya saja soal jodoh. Mereka faham yang kahwin ini bukan hanya sebab usia sahaja.

“Saya sendiri ada beberapa sasaran yang saya nak capai dalam kehidupan saya sebelum nak fikir soal berkahwin. Siapa tak nak kahwin kan?

“Bagi saya, kalau Allah kata jadi, Insya-Allah ada la jodoh. Mungkin kalau ibu bapa saya nak carikan pun saya tak kisah,” katanya.

Berkongsikan mengenai ciri-ciri wanita pilihannya, Dafi berkata dia harap dipertemukan dengan wanita yang kelakar yang boleh menceriakan hidupnya.

“Bukan hendak seseorang untuk menjadi badut tetapi saya mahukan hubungan yang gembira dan ceria yang mana dapat menghiburkan hari-hari saya.

“Saya harap dapat bertemu dengan seseorang yang saya boleh ketawa bersama setiap hari. Saya suka orang yang boleh buat saya ketawa,” katanya.