fbpx

Daddycap Nak Jadi Ahli Parlimen, Ubah Politik Negara

Sebut saja nama Daddycap atau Ariz Ramli, pasti ramai tahu penyanyi rap itu sering tampil dengan pendapatnya mengenai isu yang berlaku di sekeliling.

Menerusi, temubual eksklusif bersama Kosmo! Ariz Ramli memaklumkan yang dia mempunyai impian yang cukup besar iaitu mahu menjadi ahli politik suatu hari nanti.

BACA: Tiada Lagi Nama Caprice, Mahu Dikenali Sebagai Daddycap Atau Ariz Ramli

“Ya, insya-Allah tapi bukan sekarang. Mungkin 2030. Apa yang kita lalui selama ini terutamanya berkenaan permasalahan korupsi, misi kemanusiaan di Gaza, Palestin dan sebagainya, saya dah lihat banyak perkara tak munasabah.”

“Kalau saya berhenti sekarang, memang tidak akan pergi ke mana-mana. Kalau saya ada peluang masuk Parlimen Malaysia, bentang isu macam-macam, insya-Allah apa yang dibentangkan akan beri kesan kepada orang ramai terutama yang muda,” katanya.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya adalah untuk memastikan Malaysia berada dalam keadaan lebih baik dan akan mula membuat perubahan dari dalam.

“Sejujurnya, saya buat semua ini untuk generasi muda negara ini. Untuk waris kita yang akan datang. Saya ada anak usia lima tahun dan saya nak pastikan dia membesar di tanah Malaysia yang lebih baik.”

“Cara terbaik untuk menggerakkan negara ke hadapan adalah dengan melibatkan diri dalam politik, masuk Parlimen dan mula buat perubahan di dalamnya,” katanya.

Dalam pada itu, Daddycap berkata dia menjadikan negara Indonesia sebagai contoh dalam urusan pentadbiran negara. Ujarnya lagi, negara ini memerlukan individu yang mempunyai visi untuk rakyat dan bukan hanya tahu berpolitik.

“Hal ini kerana, apa yang mereka buat hanyalah berpolitik dan fikir tentang periuk nasi sendiri. Tengok Indonesia yang sekarang dah jadi antara kuasa ekonomi terbesar dunia. Mereka letak orang muda iaitu pengasas Gojek, Nadiem Makarim sebagai Menteri Pendidikan. Ada juga situasi menarik lain berlaku di sana.”

“Dah sampai masa Malaysia ‘pasang’ orang dalam Parlimen yang mempunyai visi untuk rakyat. Orang yang kononnya paling mulia, pakai baju cantik-cantik tapi masih buat tahi sini sana, di mana logik semua itu,” katanya.