Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman mengenai kewujudan dadah serta ‘sistem kasta’ dalam kalangan banduan yang didakwa bergantung kepada wang dan pengaruh.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, institusi penjara mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan bagi mengekang perkara negatif serta salah laku dalam kalangan penghuninya.

“Tidak benar. Kita ada SOP dan peraturan kita untuk mengekang perkara-perkara negatif yang tidak baik.

“Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang didakwa,” katanya pada sidang media selepas Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa dakwaan Yasin mengenai kehidupan di dalam penjara yang dikongsikan penyanyi itu menerusi podcast baru-baru ini.

Antara yang mendapat perhatian ialah dakwaan bahawa dadah masih boleh diperoleh di dalam penjara walaupun banduan melalui pemeriksaan keselamatan ketat sebelum ditempatkan di institusi berkenaan.

Yasin mendakwa dia sendiri diarahkan menanggalkan pakaian dan melalui pemeriksaan berulang ketika tiba di Penjara Sungai Buloh, namun mendakwa bahan terlarang masih boleh memasuki penjara.

Dalam perkongsian podcast berkenaan, Yasin turut mendakwa banduan menggunakan beberapa istilah tertentu sebagai kod bagi mendapatkan barangan termasuk bahan terlarang.

Antaranya ‘kapal’ yang menurutnya digunakan bagi urusan mendapatkan barangan dari luar, manakala ‘abuk’ merujuk kepada rokok serta ‘sejuk’ dan ‘panas’ masing-masing dikaitkan dengan jenis dadah tertentu.

Selain isu dadah, Yasin turut mendakwa terdapat hierarki dalam kalangan banduan dengan kedudukan seseorang banyak dipengaruhi kemampuan kewangan dan pengaruh yang dimiliki.

Menurut perkongsiannya, terdapat banduan yang digelar ‘taiko’ atau ‘tekong’, selain ‘orang kerja’ yang mempunyai tugas tertentu serta golongan banduan biasa yang disifatkannya sebagai ‘nobody’.

Bagaimanapun, Mohamad Rosidek menegaskan dakwaan mengenai keadaan dalam penjara seperti digambarkan Yasin adalah tidak benar.

“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan, cuba atasi perkara negatif berlaku di penjara dan benda (dakwaan) itu tidak ada.

“Kita ada SOP dan peraturan untuk mengekang perkara yang negatif dan tidak baik. Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang dinyatakan,” katanya.

Menurut Mohamad Rosidek, Jabatan Penjara bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek kawalan, malah memberi tumpuan terhadap program pemulihan penghuni.

Beliau berkata, sebarang salah laku yang dikesan akan ditangani dan tindakan sewajarnya diambil mengikut peraturan ditetapkan.

“Jabatan Penjara berusaha memastikan perkara-perkara negatif, salah laku dan sebagainya kita tangani serta ambil tindakan.

“Setiap tahun kita akan cuba ketatkan SOP dan akan kaji peringkat demi peringkat,” katanya.

Mohamad Rosidek turut mempersoalkan mengapa perhatian lebih diberikan kepada perkara negatif sedangkan terdapat ramai bekas banduan yang berjaya membina kehidupan selepas dibebaskan.

“Dia (Yasin) baru keluar (penjara), jadi media sosial sedang fokus kepadanya dan pada saya kalau kita tengok banyak yang bebas dari penjara sudah berjaya. Jadi pada saya kenapa kita nak fokus perkara negatif?

“Kita fokuslah kepada apa pihak penjara berjaya buat, namun kadang-kala kita suka cari yang kecil-kecil,” katanya.

×