Baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu gurauan rogol dan pemeriksaaan datang bulan pelajar sekolah.

Perkara itu turut mendapat perhatian pelakon Che Puan Juliana Evans yang berkongsikan kisahnya pernah diketawakan guru sekolahnya apabila pertama kali didatangi haid di sekolah.

BACA: Anak Semakin Aktif, Juliana Evans Bahagia Jadi Ibu

Rakan-rakannya membantu membasuh uniform sekolah putih yang dipenuhi darah, namun Juliana terkilan degan sikap segelintir guru wanita yang hanya ketawa.

“Ketika sedang belajar di dalam kelas, saya tersedar saya bocor (datang bulan). Kain saya dipenuhi darah. Kawan perempuan sekelas tolong saya berlindung dari belakang untuk membawa saya ke tandas. Mereka turut membantu saya basuh baju sekolah.

“Ketika saya duduk di bilik guru untuk menunggu ibu, beberapa cikgu masuk dan lalu depan saya. Mereka tanya kenapa saya menangis dan saya beritahu situasi yang berlaku. Nak tahu apa reaksi mereka? Mereka hanya ketawakan saya sehingga saya rasa takut, berseorangan dan bertambah malu,” ujarnya.

Kata Juliana lagi, sebagai seorang pendidik guru sepatutnya lebih empati dengan situasi yang berlaku dan bukannya menjadikan perkara itu sebagai bahan jenaka.

“Saya pun cerita dengan ibu dan dia sangat marah! Ibu saya datang ke sekolah pada keesokan hari dan buat aduan mengenai guru-guru terbabit. Ibu merupakan sistem sokongan terbaik saya,” tulisnya.