fbpx

Chef Wan Sedih Ibu Disahkan Hidap Kanser Payudara

Menerusi perkongsian di Instagram sebentar tadi, cef terkemuka negara, Chef Wan menyampaikan khabar kurang baik mengenai ibunya, Noraini Abdullah apabila disahkan menghidap kanser payudara pada usia mencecah 89 tahun.

Menurut Chef Wan beliau sangat terkejut apabila doktor memaklumkan menemui dua ketulan besar yang kini sudah merebak ke bahagian kelenjar limfa. Katanya, setiap kali dia memandikan ibunya, ibunya meminta supaya dia melakukannya secara perlahan-lahan kerana berasa sakit.

BACA: Chef Wan Dedah Usia 23 Tahun Raih Pendapatan RM30,000 Sebulan

“Setelah beberapa hari, saya nak ketahui sama ada kesakitan tersebut adalah ketulan. Jadi saya minta emak baring, saya guna tiga jari dan cuba rasa ketulan tersebut.

“Bila saya tekan jadi lebih dalam, saya dapat rasa satu ketulan bulat yang besar sama ada tisu yang mengeras atau mungkin isi badannya. Saya sangat terkejut,” ceritanya.

Menurut Chef Wan lagi, doktor memberitahu disebabkan faktor usia ibunya dan saiz tumor yang besar adalah mustahil untuk ibunya melakukan chemotheraphy atau pembedahan.

“Nak buat biopsy pun macam tak ada point sebab tentunya menyakitkan untuk emak kerana tumor tersebut dan membesar. Apa yang boleh dibuat adalah memberikan ubat untuk cuba mengecilkan tumor tersebut.

Meskipun sedih dengan keadaan ibunya, namun Chef Wan berkata dia perlu kuat dan bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menjaga dan memberikan segala kasih sayang kepada ibunya.

“Walaupun saya sangat sedih untuk emak dan keluarga, tetapi saya kena kuat untuk menerima cabaran ini dan menghadapi sehingga ke akhirnya.

“Paling penting saya akan menjaga dan merawat emak sebaik mungkin yang saya dapat lakukan, mencurahkan segala kasih sayang dan memberikan ketenangan kepadanya sehingga ke akhir hayatnya.

“Dia pasti akan pergi juga. Dalam masa dua minggu, emak akan menyambut usianya yang ke 89 tahun,” tulisnya.