fbpx

Caliph Buskers Rayu Penganjur Bayar Duit Show RM10,000

Kumpulan Caliph Buskers merayu supaya pihak penganjur melunaskan bayaran RM10,000 seperti dijanjikan dalam satu persembahan disertai mereka  pada 9 dan 10 Disember lalu di Pulau Pinang.

Memetik Harian Metro, salah seorang ahli kumpulan itu iaitu Fendy Arlun berkata semua ahli Caliph Buskers termasuk kru yang terlibat sangat memerlukan wang berkenaan serta memberitahu pihak penganjur memberi banyak alasan.

BACA: 3 Tahun Menduda, Fendy Caliph Buskers Sudah Jumpa Pengganti

“Untuk dua hari persembahan, kami sepatutnya menerima bayaran yang sudah dipersetujui dengan penganjur sebanyak RM10,000. Namun, sehingga sekarang masih belum mendapat bayaran itu walaupun separuh daripadanya

“Pihak penganjur memberi pelbagai alasan penangguhan bayaran kepada kami, dan setakat ini tidak diselesaikan lagi. Kami (Caliph Buskers) sudah banyak bertolak ansur, jadi mohon bayarlah wang persembahan dijanjikan itu,” katanya.

Menurut Fendy lagi, perkongsian yang dibuat di Instagram kumpulan tersebut bukan untuk mengeruhkan keadaan dengan pihak penganjur tetapi hanya untuk meluahkan situasi dihadapi mereka yang merupakan ‘insan istimewa’.

“Jadi, kami sangat memerlukan wang itu untuk menyara keluarga kerana pembabitan dalam karier seni adalah punca pendapatan kami. Ditambah, sekarang cuti sekolah dan kami pun nak bawa anak jalan-jalan juga.

“Selain itu, kami sebenarnya sudah menolak beberapa undangan persembahan lain kerana mahu memenuhi ‘show’ penganjur terbabit. Apatah lagi, mereka berjanji untuk membayar kami selepas selesai membuat persembahan,” katanya.

Dalam pada itu, Fendy berkata Caliph Buskers tidak mengambil wang pendahuluan sebelum persembahan mungkin kerana mereka terlalu lembut dan akhirnya menjadi mangsa.