fbpx

Bunga Citra Lestari Nikah Di Bali 2 Disember

Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari dikhabarkan bakal disatukan dengan ahli perniagaan, Tiko Aryawardhana pada 2 Disember ini.

Memetik BH Online, sumber terdekat penyanyi itu mengesahkan majlis pernikahan pasangan itu bakal berlangsung di sebuah hotel mewah di Bali.

BACA: BCL Kongsi Video Pakai Sport Bra, Nak Buktikan Tak Hamil

“Memang benar BCL akan bernikah pada 2 Disember ini dan majlis akan diadakan di sebuah hotel mewah di Bali.

“Majlis perkahwinannya sangat eksklusif kerana difahamkan jumlah tetamu yang diundang tak ramai iaitu kurang 100 orang,” katanya.

Sementara itu, desas-desus majlis pernikahan pasangan itu turut disahkan ketua tempat tinggal BCL di Pejaten Barat, Asep Ahmad Umar.

Menurutnya, BCL sudah menyerahkan dokumen berkaitan urusan pernikahan dengan jejaka yang bertugas di sebuah bank antarabangsa itu.

Bagaimanapun, tidak dikongsikan butiran lanjut mengenai tarikh ataupun lokasi majlis pernikahan pasangan itu. Malah, BCL juga belum mengeluarkan kenyatana rasmi mengenai dakwaan tersebut.

Untuk rekod, BCL pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.