Merancang untuk berbulan madu di Tanah Suci Mekah tetapi terpaksa ditunda susulan pandemik COVID-19, bagaimanapun Tasha Shila memanfaatkan waktu bersama suami dengan berbulan madu di rumah sahaja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Tasha, banyak aktivit mereka lakukan sepanjang tempoh PKP termasuk beribadah bersama di rumah. Ujarnya, apabila keadaan sudah kembali pulih dia dan suami akan ke Mekah untuk berbulan madu seperti yang dirancang.
BACA: Penampilan Makin Sopan, Tasha Shila Akui Mahu Berubah
“Setakat ini, saya dan suami hanya berbulan madu di rumah sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuat kuasa.
“Ada hikmah di sebalik ujian COVID-19 ini kerana kami banyak memanfaatkan masa bersama termasuk beribadah di rumah.
“Insya-Allah selepas semua kembali seperti biasa, saya dan suami tetap mahu nikmati fasa berbulan madu di Makkah,” katanya kepada BH Online.
Hampir tiga bulan bergelar isteri, Tasha berkata kehidupannya kini lebih bahagia di samping suami dan keluarga. Malah, sepanjang tempoh tersebut mereka lebih mengenali antara satu sama lain.
“Apa yang saya lihat, suami masih sama seperti awal perkenalan. Dia seorang yang sangat positif, jenis bangun pagi dan suka mengemas rumah. Suami juga seorang yang kelakar,” katanya.
Tasha Shila dan Muhammad Atiq selamat disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis ringkas di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu. Pasangan ini mengikat tali pertunangan Ahad lalu selepas dua bulan berkenalan.