fbpx

“Bukan Riak, Hanya Nak Kongsi Usaha Titik Peluh Sendiri”

Siapa sangka di usia 19 tahun, penyanyi Ismail Izzani sudah mampu memiliki kereta mewah Mercedes Benz CLA 200. Namun, perkongsiannya di media sosial itu menimbulkan rasa kurang senang netizen.

Ada yang beranggapan Ismail bersikap riak dan seolah sengaja ingin menunjuk kemewahan yang dimiliki. Tidak mudah melatah, Ismail berkata dia sekadar berkongsi pencapaiannya sepanjang bergelar anak seni.

BACA: Ismail Izzani Beli Kereta Mewah Pada Usia 19 Tahun

“Instagram itu ruang untuk saya berkongsi banyak perkara dan contohnya baru-baru ini saya muat naik foto beli kereta mewah bukan sebab nak menunjuk atau riyak.

“Sebenarnya saya hanya mahu berkongsi apa yang sama miliki atas usaha dan titik peluh sendiri bukannya nak berbangga diri semata-mata!

“Selama tiga tahun dalam industri, saya rasa tak salah untuk saya beri penghargaan untuk diri sendiri dengan membeli sesuatu yang kita minat dan kereta mewah itu adalah kereta pertama saya,” katanya kepada mStar Online.

Sering berkongsikan video gila-gilanya, Ismail berkata peminatnya memahami cara dia berkomunikasi sesama mereka dan dia juga mempunyai cara tersendiri menghiburkan peminat.

“Saya kongsi banyak benda, sampai buat video menari gila-gila pun saya upload, kebanyakan pengikut setia sudah faham dan tak ambil serius.

“Tapi kalau orang yang tak biasa dengan cara saya, mereka pasti akan mengecam. Tak apalah masing-masing ada cara utuk meluahkan pendapat dan saya terima apa saja komen mereka,” katanya.