“Bukan Mudah Untuk Bercakap Hal Agama Pada Akhir Zaman Ini”

Sebelum ini pernah dikecam susulan tindakannya yang lantang memberi pandangan serta aktif memberi ceramah agama, Pencetus Ummah (PU) Amin meluahkan rasa syukur kini berjaya menerima Tauliah Mengajar di Wilayah Perseketuan.

Menerusi perkongsian di Instagram, PU Amin turut memuat naik foto surat dan kad tauliah yang diterimanya yang sah digunakan selama tiga tahun bermula 16 Mei sehingga 31 Ogos 2023.

BACA: PU Amin Tak Putus Asa Ajak Netizen Boikot Sajat

PU Amin berkata dia berharap dapat menjalankan tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah dengan baik kerana di akhir zaman ini bukan mudah untuk bercakap mengenai hal agama.

“Alhamdulillah. Nak dapat ni kena temuduga dan tapisan yang sangat hebat. Bukan mudah untuk bercakap hal ehwal agama pada akhir zaman ini. Moga apa yang kita sampaikan mengikut kehendak Allah dan Rasul nya.

“Proses dapat tauliah juga sangat ketat. Maka bila dah diberi kepercayaan oleh pihak berkuasa, perlu kita gunakan dengan sebaik nya. Semoga kita diberi kekuatan untuk meneruskan kerja dakwah di dunia ini,” katanya.

Menerusi surat yang diterima daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri itu, dia diingatkan agar tidak mengajar atau menyebarkan apa-apa ajaran bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, PU Amin juga tidak boleh menyentuh apa-apa perkara berhubungan dengan kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana raja sebagai ketua agama Islam sesebuah negeri.

Untuk rekod, sebelum ini PU Amin diberi pentauliahan untuk mengajar agama di Negeri Sembilan.

×