fbpx

“Bukan Marah Panggil Retis, Cuma Perkataan Itu Tak Wujud”

Baru-baru ini, pelakon dan penyanyi Adibah Noor memuat naik status menerusi Twitter menegur netizen yang menggelarkan selebriti sebagai ‘retis’. Menurut Adibah, gelaran itu dianggap sebagai satu penghinaan.

Kenyataan itu turut disokong oleh Jihan Muse yang mengatakan gelaran ‘retis’ itu direka oleh netizen sendiri sedangkan perkataan tersebut tidak pernah wujud.

BACA: “Jangan Panggil Kami Retis, Itu Penghinaan”

Bagaimanapun, status Twitternya itu dikritik oleh netizen . Namun, Jihan menjelaskan ramai yang salah faham tentang apa yang ingin disampaikan olehnya mengenai gelaran tersebut.

“Apa yang berlaku adalah salah faham. Dia macam ini, kita kadang-kadang menulis dan mendengar apa yang orang cakap itu tidak sama. Bila bercakap orang akan fahami, bacanya dalam nada yang lain.

“Apa yang saya tulis itu adalah berdasarkan kepada tweet yang dibuat Adibah Noor. Jadi saya pun perasan masih ada yang panggil retis. Ingatkan sudah tak ada sebab saya sendiri pun dah lama tak dengar istilah itu disebut.

“Saya hanya nak beritahu, perkataan tersebut tidak wujud. Bukan nak marah sebab saya rasa retis itu bagi saya adalah bahasa pasar. Tiada isu pun,” katanya kepada Media Hiburan.

Terdahulu, Adibah Noor mengatakan netizen yang menggelar mereka ‘retis’ seolah merendahkan anak seni yang sepatutnya dipanggil ‘artis’. Kenyataan itu turut disokong beberapa selebriti lain seperti Nabila Huda, Farah Fauzana dan Ariff Bahran.