fbpx

Bukan Calang Calang Nama, Zynakal Lancar Lagu Baru

Meskipun baru sahaja 2 tahun dalam industri muzik tanah air, komposer lagu Sabar nyanyian Ismail Izzani kini bergelar penyanyi apabila tampil dengan single pertama, Terbang.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Razqi Rosli juga merupakan komposer lagu Terasa Cinta nyanyian Fara Hazel dan Aiman Tino.

Menariknya, penyanyi dan komposer berusia 20an ini memilih Hotel Galle Face, Sri Lanka sebagai destinasi pelancaran lagu tersebut bagi mencipta kelainan.

Lagu ciptaan Zynakal sendiri bersama penyanyi Sufian Suhaimi, Faiz Ruzaini dan Alabbas telah pun mencapai 10,000 tontonan di Youtube selepas satu jam klip video ini lancarkan pada petang Rabu.

Kami turut diterbangkan bersama Zynakal di Colombo, Sri Lanka untuk menonton sendiri majlis pelancaran tersebut.

Bercerita mengenai pemilihan lokasi pelancaran itu, Zynakal memberitahu dia hanya ingin memenuhi impian ibunya yang tidak berpeluang untuk melawati negara tersebut.

“Sebenarnya ibu saya yang teringin untuk datang ke Sri Lanka tapi dia tak berkesempatan lagi.

“Jadi, kiranya saya mewakili ibu memenuhi impian untuk berada di sini. Sebab itu pelancaran ini sangat bermakna buat saya, ” katanya ketika ditemu bual.

Lagu tersebut turut dilancarkan serentak di platform digital Spotify, iTunes dan Joox.