“Buat Apa Nak Malu? Saya Tak Lakukan Jenayah”

Penyanyi Yasin Sulaiman berkata dia menyesal kerana melakukan kesalahan dan perkara yang melanggar undang-undang negara.

Memetik Astro Gempak, Yasin bagaimanapun tidak pernah rasa malu kerana dia melihat dirinya tidak melakukan jenayah.

BACA: Yasin Sulaiman Perlu Makan Ubat Sampai Akhir Hayat, Tak Boleh Terlibat Kanabis

“Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai penjenayah. Oleh itu, saya tidak berasa malu. Sudah tentu saya kesal dan menyesal kerana telah melanggar undang-undang.

“Kita hidup di Malaysia, ada undang-undang. Kita juga ada Rukun Negara yang mana kita perlu menjunjung kedaulatan undang-undang. Jadi, saya memang sudah melakukan kesalahan. Tetapi dalam saya melakukan kesalahan itu, niat saya baik,” katanya.

Sementara itu, Yasin berkata dia tidak malu untuk berkongsikan perkara yang dialuinya kerana apa yang dilakukannya itu bukan satu jenayah.

“Buat apa nak malu? Saya tidak melakukan jenayah. Jadi, saya tahu bahawa saya bukan seorang penjenayah dan apa yang saya lakukan itu bukan satu jenayah.

“Kes saya tidak mempunyai mangsa. Bagaimana saya hendak dianggap sebagai penjenayah kalau tiada mangsa? Kalau jenayah itu berlaku, mesti ada mangsa. Bunuh orang, curi duit dan aniaya orang, itu jenayah. Jadi, kes saya ini tidak mempunyai mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Yasin berkata dia tidak akan mengulangi kesilapan tersebut serta mahupun melanggar undang-undang.

“Daripada apa yang berlaku, saya tidak akan melanggar undang-undang lagi. Saya tidak akan melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia, sama ada undang-undang itu betul atau tidak, tidak berapa baik atau sebagainya.

“Janji ia adalah undang-undang, saya tidak akan melanggarnya. Walaupun lampu isyarat merah,” katanya.

Sumber: Astro Gempak

×