fbpx

Buang Imej Seksi, Kilafairy Kini Sudah Berhijab

Sinonim dengan imej seksi, baru-baru ini foto yang dimuat naik oleh Kilafairy menjadi perhatian ramai apabila pelakon dan penyanyi itu tampil berhijab. Malah ramai peminat yang tertanya-tanya adakah Kilafairy sudah bertudung.

Bagaimanapun, segala teka-teki mengenai imejnya itu terjawab apabila Kilafairy akhirnya tekad untuk berhijrah dan bertudung sempena keberkatan bulan Syawal, sejak kelmarin.

BACA: Kerap Bercuti, Kilafairy Nafi Dibela Sugar Daddy Tapi …

Mahu berubah menjadi lebih baik dan berkat doa ibu bapanya, Kilafairy berkata keputusannya itu tiada paksaan daripada sesiapa dan berharap agar kekal istiqamah untuk terus berhijab.

“Saya percaya niat yang baik akan dipermudahkan. Hati saya terbuka mahu mengenakan hijab. Saya membulatkan tekad tanpa tekanan mahupun paksaan sesiapa.

“Semoga penghijrahan ini mendapat keberkatan. Apa yang lebih diharapkan saya kekal istiqamah,” katanya kepada BH Online.

Februari lalu, Kila pernah mengatakan dia mahu perlahan-lahan membuang imej seksi yang cukup sinonim dengannya. Malah, Kila juga sudah mula berpakaian sopan sejak awal tahun ini.

“Perubahan ini seiring dengan peningkatan usia dan kematangan diri. Saya percaya dalam hidup kita tidak boleh terus berada di takuk lama, perlu ada penghijrahan.

“Saya berhasrat mahu menjadi insan lebih baik daripada sebelumnya. Sudah enam bulan saya menjaga penampilan diri, nyata saya selesa,” katanya.