fbpx

“Boleh Ke Drama Kita Stop Buat Cerita Fantasi, Kahwin Paksa”

Boleh dikatakan kebanyakan drama yang ditayangkan di stesen televisyen tempatan kini banyak berkisarkan tentang cinta, fantasi dan kisah orang kaya.

Baru-baru ini, pelakon Izara Aishah mempersoalkan mengapa drama tempatan masih lagi mengetengahkan jalan cerita yang sama sejak dulu lagi. Menerusi satu perkongsian di Twitter itu, Iza turut meminta agar lebih banyakkan kisah realiti seperti drama Nur daripada kisah fantasi.

BACA: Izara Aishah Pelik Ramai Instafamous Jadi Pelakon

“Boleh ke drama kita hentikan buat cerita fantasi macam cikgu bercinta dengan pelajar sekolah menengah (yang saya sendiri lakonkan, Ya Allah).

“Kahwin paksa (haram di sisi Islam. Saya juga yang berlakon). Kahwin dengan sepupu… Ya Allah. Boleh ke banyak buat drama realiti macam Nur?,” tulisnya.

Izara berkata dia pernah mempersoalkan perkara tersebut kepada pihak stesen TV dan jawapan yang diterima adalah kerana penonton suka drama seperti itu. Dedah Izara lagi, dia masih menerima tawaran drama cerita seperti itu.

Perkongsian Izara itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang tidak bersetuju dengan jawapan balas stesen TV serta berharap lebih banyak lagi drama memaparkan kisah benar yang terjadi dalam masyarakat sekeliling.