fbpx

Black Cemas Kerana Durian Bayi Dalam Perut Tak Bergerak

Bakal menimang cahaya mata kedua, penyanyi Black Hanifah baru-baru ini kongsikan detik cemas yang dilalui olehnya apabila bayi dalam kandungan isterinya tidak bergerak seperti biasa selepas menikmati durian.

Black memberitahu, isterinya Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira seorang penggemar raja buah, namun dia akan lebih berwaspada agar insiden tersebut tidak berulang lagi.

“Cira memang penggemar durian. Seperti kebiasaannya, saya akan memanggil nama bayi dalam kandungan Cira dan pastinya anak kami akan respon dengan bergerak. Tetapi ketika itu, sewaktu Cira baru selesai menjamah durian, tiada respon diterima dari anak kami. Kami berdua sudah risau.

“Alhamdulillah, selepas kami memanggilnya buat kali ketiga, bayi kami mula memberikan respon seperti biasa. Selepas itu, saya nasihatkan isteri agar berwaspada jika dia teringin untuk menikmati durian. Lebih baik berpada-pada kerana tak mahu perkara yang sama berulang lagi,” katanya kepada Astro Awani.

Dalam pada itu, Black belum bersedia untuk mendedahkan jantina cahaya mata keduanya dan bakal diumumkan apabila tiba masanya nanti.

“Saya tak sabar menunggu kehadiran anak kedua. Bercakap mengenai jantina dan nama, buat masa ini biar kami simpan dahulu.

“Nama bayi pun sudah kami pilih tetapi biarlah kami umumkan kelak di masa yang sesuai. Doakan kandungan isteri saya berada dalam keadaan yang baik,” katanya lagi.