Penyanyi dan pelakon persis Arab, Betty Benafe yang ditemui semasa sidang Mahdi Moudini: Best Illusionist in Malaysia 2014, yang ditemani suami serta anak sulungnya memberitahu yang dia kini sibuk memikirkan mengenai anak sulungnya dan tidak lagi memikirkan soal untuk kecantikan dan berdandan seperti zaman-zaman sebelum dia mempunyai anak.
“Saya dah tak fikir lagi soal kecantikan seperti berdandan, spa & sebagainya. Kalau dulu memang kita sibuk dengan benda-benda sebegini seperti membeli-belah baju baru, tetapi sekarang ini tumpuan itu lebih ke arah untuk membeli-belah untuk keperluan anak saya,” tuturnya ramah.
Katanya lagi apabila bayinya itu dilahirkan, segala-galanya telah berubah termasuk diri & suaminya sendiri kerana tanggungjawab mereka kini lebih berat dan baginya anak merupakan segala-gala penawar dan hilang segala masalah apabila melihat telatah comel bayinya itu.
BACA: Betty Benafe Selamat Lahirkan Bayi Perempuan
“Saya seronok sangat apabila dikurniakan seorang anak dan bila kita tengah ada masalah dan tengok gelagat anak, saya rasa semua masalah yang berserabut dalam fikiran semua hilang. Saya tak nafikan juga bahawa lahirnya dia ke dunia, saya sendiri dapat merasakan perubahan besar dan positif seperti lebih protektif dan pengikat kasih sayang antara saya dan suami”
“Perasaan menjadi seorang ibu ini sangat aneh kerana sayang saya kepada anak sangat berbeza sekali dengan sayang kepada suami, ini kerana anak tak boleh diganti tetapi suami boleh diganti,” ujarnya sambil berseloroh.
“Suami saya sendiri sekiranya diberi pilihan, dia lebih rela untuk menyelamatkan anak daripada isterinya ini,” katanya sambil ketawa.
Walaubagaimanapun, Betty memberitahu bahawa bayinya kini tidak mempunyai pengasuh untuk menjaganya dan dia membawa ke mana sahaja bayinya itu dan suaminya sendiri juga masih ragu-ragu untuk meninggalkan bayi mereka kepada orang yang masih tidak dikenali meskipun mereka sekeluarga bakal mempunyai pembantu rumah tidak lama lagi.
“Kini apabila saya ke mana sahaja walaupun ke mesyuarat sekalipun, saya membawa anak kerana kami masih lagi tidak mempunyai pembantu rumah. Saya ada ke agensi untuk mencari pembantu rumah dan telah pun membayar sejumlah wang tetapi masih lagi dalam proses. Mahu tak mahu saya memang menjaganya sepenuh masa. Lagipun suami saya sendiri pun masih ragu-ragu untuk saya tinggalkan anak dengan orang yang masih baru dan tidak kenali, kerana kita tahu sekarang ini bermacam-macam isu dan masalah timbul mengenai pembantu rumah,” katanya.
Sementara itu, Betty akan meneruskan promosi lagunya yang berjudul Tak Sengaja yang telah pun di promosikan di laman sosial Youtube sebelum ini dan akan terbabit dalam penggambaran video klip untuk single nya yang seterusnya. (rtky/hfz)