fbpx

“Beri Peluang Kedua Untuk Mereka Yang Hilang Kerja Kerana COVID-19”

Baru baru ini kami ada bertanyakan kepada netizen berkaitan harapan mereka akan kehidupan selepas tamat pandemik COVID-19 dan lebih 1,500 orang memberikan pandangan dan menyuarakan keluh kesah mereka yang memikirkan masa hadapan.

Paling ketara, ramai antara anda yang risau tentang status pekerjaan yang masih menjadi tanda tanya apabila ekonomi Malaysia dijangka mengalami penyusutan ketara akibat COVID-19.

“Support orang orang yang hilang kerja…”

Majoriti dari komen yang kami terima memaklumkan yang mereka mahu kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia terutama buat mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik yang sedang melanda seluruh dunia ini.

“Tangani lambakan tenaga kerja asing…”

Ada juga yang meminta supaya kerajaan memberikan perhatian kepada bidang kerja yang sebelum ini dimonopoli oleh pekerja asing untuk diberikan kepada tenaga tempatan sekaligus membantu ramai rakyat Malaysia untuk mendapatkan punca pendapatan tetap.

“Sediakan bantuan untuk orang muda mulakan perniagaan sendiri…”

Untuk merancakkan lagi ekonomi negara selepas ini, ada netizen mencadangkan untuk kerajaan memberikan bimbingan dan bantuan modal untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selain turut membantu mewujudkan peluang pekerjaan.

Kami yakin kita semua akan berjaya harungi semua cabaran ini bersama dan harapnya ada inisiatif khas dari kerajaan kita untuk wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan cara untuk kita semua menjana pendapatan selepas pandemik COVID-19 ini berakhir.

Kita ‘kan rakyat Malaysia yang kuat!