Kesal masih dituduh sebagai anti vaksin, pelakon Lufya Omar memuat naik paparan skrin aplikasi MySejahtera sebagai bukti bahawa dia sudah menerima dos pertama vaksin pada 17 Jun lalu.
Menurut Lufya, dia berharap dengan bukti dan penjelasannya itu akan membuatkan netizen berhenti menggelarnya sebagai anti vaksin.
BACA: Fara Hanim Mohon Maaf Pada Rita Rudaini, Lufya Omar
“Ikutkan tak nak kongsi apa-apa mengenai saya dapat vaksin itu sebab saya tahu ramai lagi yang masih belum terima suntikan, bimbang perkongsian saya itu akan menggores hati mereka.
“Tapi saya terima banyak DM di Instagram daripada netizen yang masih menuduh saya anti vaksin disebabkan isu sebelum ini, saya terpaksa berkongsi paparan skrin aplikasi MySejahtera saya itu.
“Mungkin ada netizen yang baru baca isu itu akan terus menuduh saya. Jadi, saya perlu keluarkan kenyataan supaya orang berhenti label saya sebagai anti vaksin,” katanya.
Terdahulu, pengacara Fara Hanim Razak mendakwa dua jirannya iaitu Rita Rudaini dan Lufya Omar sebagai antivaksin sekaligus mengundang kemarahan dua pelakon itu.