fbpx

Beli CCTV Untuk Keselamatan — Neelofa Mengaku Takut Hidup Sendiri Di USA

Pelakon & hos MeleTOP, Noor Neelofa memberitahu bahawa dia tidak pernah tinggal bersendirian dan takut apabila berkeseorangan di rumah. Walaubagaimana pun, mulai Januari depan aktres jelita ini terpaksa membiasakan diri tinggal berseorangan & jauh daripada keluarga sepanjang mengikuti pengajiannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Memetik kenyataan di Malaysian Digest, aktres jelita ini mendedahkan yang dia telah membeli sebuah kamera ala kamera litar tertutup (CCTV) sebagai peneman semasa dia di sana.

“Saya ni takut kalau tinggal seorang diri. Kalau kat rumah, memang saya tak biasa tinggal sendiri. Tapi itulah, saya kenalah biasakan juga. Sebenarnya saya takut hantu,” katanya .

“Apa yang saya buat, saya dah siap beli kamera. Kamera tu macam ala kamera CCTV dan boleh di sambung terus pada telefon bimbit”

“Di sana kalau malam, di sini siang, kan. Jadi kalau waktu saya tidur nanti, famili saya akan pantau saya menerusi telefon. Saya takut lah kalau ada apa-apa berlaku kan masa saya sedang tidur,” ujarnya tergelak akan strateginya itu.

Neelofa yang ditemui pada sidang media Anugerah MeleTOP ERA mendedahkan perkara tersebut ketika ditanya mengenai persiapannya bakal berangkat ke Amerika Syarikat pada 27 Disember ini. Sepanjang selama sebulan di sana, Neelofa akan mengikuti kursus jangka pendek di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi New York (NYFA).

Begitupun pengacara program MeleTOP ini teruja untuk memulakan pembelajarannya di sana. Sekaligus dia berharap sekembalinya nanti ke tanah air pada awal Februari nanti, dia dapat menyumbang sesuatu menerusi karier lakonanya.

“Dalam seminggu saya kelas sebanyak 35 jam. Saya teruja tak sabar nak mulakan kelas di sana. Tambahan saya dah diberi sedikit gambaran oleh pihak akademi tentang bagaimana suasana pembelajaran di sana nanti. Saya rasa tak ada masalah dan harap semua berjalan lancar.

“Saya harap bila balik nanti dapat lah bawa balik ilmu berguna dan dapat pertingkatkan mutu lakonan saya. Saya juga ada bertanya serba sedikit kepada Diana Danielle tentang keadaan di sana kerana dia pernah belajar di akademi tersebut,” ujarnya. (rtky/hfz)