Bekas Kekasih Alya Iman Akui Kesilapan, Mohon Maaf Pada Isteri

Sejak minggu lalu, kecoh mengenai kisah pelakon baru Alya Iman yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan seorang ahli perniagaan berstatus suami orang apabila isterinya sendiri mendedahkan perkara itu kepada umum.

Sepanjang isu tersebut diperkatakan, ahli perniagaan dikenali sebagai Mahathir Mohd itu hanya mengunci mulut sahaja meskipun ruangan komen Instagram miliknya dihujani dengan komen kecaman netizen.

BACA: Bekas Kekasih Alya Iman Dedah Kena Kikis Sampai RM2.3 Juta?

Bagaimanapun, setelah beberapa hari berdiam diri ahli perniagaan itu akhirnya tampil bersuara. Menerusi perkongsian di Instagram, Mahathir merayu kepada netizen berhenti melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap diri dan keluarganya.

“Selepas dua hari saya membenarkan anda semua komen di ruangan yang disediakan, cukuplah segala nasihat, tohmahan, fitnah, kata-kata hina yang anda semua tuliskan. Saya bersyukur atas keprihatinan anda semua terhadap keluarga saya.

“Jadi, cukuplah komen yang negatif terhadap media sosial saya dan juga isteri. Hormatilah kami. Setiap manusia pernah lakukan kesilapan,” katanya.

Sementara itu menerusi Instagram Live, bekas kekasih Alya Iman itu akui telah menyesali kesilapan yang telah dilakukan dan memohon maaf pada isterinya, Penny Salman, keluarga dan juga anak-anak.

“Saya amat menyesal atas apa yang terjadi. Kita semua manusia yang tidak lari dari buat kesilapan jadi saya memohon maaf kepada isteri saya, keluarga dan juga anak-anak.

“Terima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan rumah tangga saya. Terima kasih juga yang mendoakan baik-baik kepada saya.

“Bukan semua komen diterima itu negatif, banyak juga yang positif. Syukur alhamdulillah. Saya sekali lagi berterima kasih kepada yang prihatin dengan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut berpesan kepada netizen yang meninggalkan komen melampau supaya tidak melebihi batas kerana dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Satu nasihat saya kepada netizen-netizen yang meninggalkan komen terlalu keras, saya mendoakan kesejahteraan anda semua.

“Tetapi jika anda melampaui batas, saya tidak teragak-agak untuk membuat sesuatu. Sekarang, saya dan juga pihak guaman sedang review komen yang sangat keras di ruangan Instagram (IG) saya dan isteri,” katanya.

Terdahulu, Alya mendakwa pernah bertunang dengan seorang ahli perniagaan berstatus suami orang. Alya mengeluarkan kenyataan itu selepas isteri individu tersebut membongkar hubungan sulit suaminya dengan Alya.

×