fbpx

Bekas isteri kepada Cliff Umar iaitu Zurini Hasbullah berkata berharap penyanyi itu dapat tengokkan anak-anak mereka apabila dia sudah tiada suatu hari nanti.

Memetik Harian Metro, Zurini membesarkan ketiga-tiga anaknya sendirian selepas diabaikan suaminya itu sejak beberapa tahun lalu.

BACA: Terkejut Diumum Juara GV7, Cliff Umar Akui Tak Fikir Dulu Sebelum Cakap

Difahamkan, dua anak lelakinya berusia 13 dan 11 tahun disahkan mengidap autisme, manakala anak perempuan bongsunya berusia tujuh tahun mempunyai ciri-ciri disleksia.

Lebih mengejutkan, Zurini berkata disebabkan terlalu tertekan dia pernah terfikir untuk menghidupkan enjin kereta bawa anak-anak untuk terjun sungai dan tidak mahu menyusahkan orang.

“Orang tak faham saya perlukan sokongan. Keluarga saya pun ada masalah sendiri. Orang yang saya harapkan beri sokongan pun tiada. Hidup saya semata-mata untuk anak.

“Rasanya kalau tiada anak-anak, saya pun dah tiada. Tapi sebab anak-anak la saya bertahan. Dulu saya tertekan minta duit dengan ayah mereka tak dapat hingga saya marahkan anak-anak,” katanya.

Zurini mendedahkan dia berpisah dengan penyanyi itu pada 2014 ketika sedang mengandungkan anak bongsunya. Bagaimanapun, Zurini dan penyanyi itu sah bercerai pada 2019.

“Saya terima kerana itu anak-anak saya. Mereka bukan cacat anggota tapi lemah dari segi lain. Tengok macam normal tapi di balik tabir kena ada cara kendalikan mereka.

“Bayangkan saya kena mandikan mereka setiap pagi bermula jam 4 pagi dengan yang sulung dah cecah ketinggian hampir enam kaki untuk siapkan ke sekolah. Ia berlaku sejak dari usia setahun kepada sekarang.

“Saya buat semua seorang diri dan kadang-kadang tertekan juga sebab tiada masa rehat. Saya kena cari duit, kemas rumah dan jaga mereka kalau sakit,” katanya.

Sebelum ini, Cliff dilaporkan enggan mengulas mengenai perkara itu serta menyifatkan ianya masalah peribadi dan berharap supaya tidak campur hal peribadinya.

“Minta maaf. Ini masalah peribadi dan saya selesaikan dengan dia (bekas isteri) sendiri. Saya harap orang lain hormat keputusan untuk tidak masuk campur dalam hal peribadi saya,” katanya.