fbpx

Baru 21 Tahun Dah Beli Dua Rumah, Asad Motawh Tak Suka Menunjuk

Meskipun tidak muncul dengan lagu terbaru, dalam diam rupanya penyanyi Asad Motawh bergelar usahawan dan mempunyai tiga perniagaan.

Memetik Getaran, lebih mengagumkan penyanyi berusia 21 tahun itu mempunyai dua buah rumah jenis banglo dan juga private suites. 

BACA: Tayang ‘6 Pack’, Asad Motawh Buat Peminat Tak Keruan

Bukan itu saja, Asad juga memiliki sebuah kereta, pejabat, selain  menjadi majikan dengan mengupah lapan orang kakitangan di bawah syarikat yang diusahakannya.

“Walaupun tak ada lagu baru namun saya akui hidup selesa. Angka pendapatan, saya tak mahu sebut, google sahaja sendiri.

“Saya ada tiga perniagaan iaitu perkhidmatan cuci kereta, membuat landskap dan kini bisnes terbaharu saya adalah mengusahakan rumah produksi Motawh Production yang baharu dibangunkan sejak sembilan bulan lalu.

“Saya ada pasukan sendiri. Kami banyak buat kerja belakang tabir seperti iklan, muzik video dan sebagainya. Kami juga berjaya mendapatkan klien jenama-jenama besar,” katanya.

Dalam pada itu, Asad berkata dia tidak mahu menayang kekayaan di media sosial, baginya sikap menunjuk harta tidak memberi sebarang faedah sebaliknya hanya membuatkan mulut orang mengata.

“Rumah pertama yang saya beli adalah sewaktu saya berusia 19 tahun. Sejujurnya, saya merasakan apa yang saya miliki ini biasa-biasa sahaja. Ia macam satu tanggungjawab.

“Mungkin sebab saya mempunyai ramai kawan-kawan artis yang kaya. Apabila seseorang itu semakin kaya, semakin sedikit kekayaan yang ingin ditunjukkan kepada orang lain.  Saya tak nampak apa-apa kelebihan kalau menunjukkan harta.

“Lagipula, kalau saya tunjuk segala aset, nanti orang tetap akan mengata saya acah-acah dan sebagainya,” katanya.