Hubungan cinta mereka bukan lagi rahsia dan hampir setahun menyulam bahagia dengan Intan Ladyana, pelakon muda Harris Alif mengakui ada sahaja yang mempertikaikan hubungan mereka terutama perbezaan usia mereka 17 tahun.
Meskipun ada yang beranggapan hubungannya dengan Intan seperti kakak dan adik namun dia tidak peduli dengan tanggapan tersebut kerana masing-masing mempunyai pendapat mereka sendiri.
BACA: “Saya Bersyukur Andai Ditakdirkan Harris Jodoh Saya”
“Alhamdulillah, kami ‘happy’. Sekarang masih dalam fasa mengenali. Nak kenal hati budi bukan sekejap. Tetapi, kami okey menikmati fasa awal ini. Diam tak diam, sudah hampir setahun hubungan istimewa ini terjalin.
“Diakui, ada yang beranggapan saya dan Intan seperti adik dengan kakak. Itu pendapat mereka, terserahlah nak cakap apapun. Saya dan Intan tiada masalah jika orang nak anggap begitu. Isu pertikaian umur ini biasalah, pasti akan ada isu ini ditimbulkan.
“Hanya segelintir sahaja yang mempersoalkan perkara itu. Selebihnya tumpang gembira berdasarkan respon positif yang ditunjukkan dalam setiap gambar yang dikongsikan di laman Instagram,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Harris berkata dia tidak ambil serius dengan apa yang diperkatakan netizen. Harris akui banyak kelebihan bercinta dengan wanita matang kerana tidak ada banyak drama.
“Ada cakap kami seperti ibu dan anak. Saya dan Intan hanya mampu tergelak apabila membaca komen ini. Tetapi, tidaklah sampai tahap nak ambil serius dengan komen berkenaan. Kami tahu diri masing-masing macam mana. Jujurnya, saya tak rasa apapun. Lantaklah nak cakap apa.
“Bercinta dengan wanita matang banyak kelebihan yang orang tak tahu. Lebih senang bawa berbincang dalam apa juga perkara dan saling memahami antara satu sama lain.
“Komunikasi menjadi lebih lancar dan tak banyak drama. Tiada langsung pemikiran kebudak-budakan. Kami satu kepala, jadi tak rumit,” katanya.