fbpx

Banyak Dapat Tawaran, Erra Fazira Tak Halang Aleesya Jadi Artis

Pelakon dan penyanyi Erra Fazira mengakui anak tunggalnya, Engku Aleesya ada menerima tawaran dalam dunia seni termasuk berlakon iklan.

Bagaimanapun, Erra berkata dia perlu berbincang terlebih dahulu dengan bekas suami, Engku Emran untuk mendapatkan kata sepakat dan kebenaran apatah lagi anaknya itu belum boleh membuat keputusan sendiri.

BACA: Erra Fazira Masih Bertegur Dengan Bekas-Bekas Suami

“Permintaan tawaran untuk Aleesya beraksi di hadapan kamera memang ada saja diterima. Ada yang berminat nak dia muncul buat iklan. Tapi, saya tak boleh buat keputusan itu sendiri tanpa berbincang dan mendapat ‘lampu hijau’ daripada bapanya.

“Sekarang, selagi Aleesya belum boleh buat keputusan sendiri, saya tidak akan membawa dia ke depan lagi. Biarlah dia yang tentukan minat dan kesukaannya, saya akan menyokong saja,” katanya.

Dalam pada itu, Erra berkata dia tidak menghalang apa sahaja minat anaknya itu di masa akan datang termasuk untuk menjadi artis suatu hari nanti.

“Untuk Aleesya, saya akan sokong semua yang dia minat dan tidak akan mengawalnya. Begitu juga jika dia berminat menceburi kerjaya seni suatu hari nanti, saya tidak akan menghalang tetapi memantau saja.

“Apapun setiap keputusan membabitkan Aleesya sekarang, saya dan bapanya kena berbincang dan mendapat kata sepakat. Sekiranya pihak sana (bekas suami) okey dan beri ‘lampu hijau, saya tiada masalah,” katanya.