“Baju Melayu Terlampau Moden Pun Tak Cantik Juga” – Aeril Zafrel

Pelakon Aeril Zafrel berpendapat tidak semestinya rekaan baju Melayu terlalu moden dan fancy mampu menarik minat pembeli.

Memetik Utusan Online, baru saja melancarkan koleksi baju Melayu, Soultan, Aeril berkata rekaan tradisional yang disuntik sedikit elemen moden lebih digemari ramai.

BACA: “Marah Macam-Mana Pun, Saya Tak Akan Angkat Tangan” – Aeril Zafrel 

“Saya sendiri peminat baju Melayu. Saya tak bersetuju bila rekaan baju Melayu terlalu fancy dan lari daripada elemen kemelayuan. Susah nak jual, mungkin tak laku. Tetapi mungkin dibeli oleh golongan tertentu.

“Bila nak buat baju Melayu ini, kita kena ambil kira dan kaji material, rekaan serta elemen tambahan melibatkan butang dan cutting,” katanya.

Dalam pada itu, Aeril berkata dia mengambil masa dua tahun sebelum bersetuju untuk bekerjasama dengan Hijabistahub untuk menghasilkan koleksi baju Melayu, Soultan.

“Saya ini cerewet. Sebab itu bila ditawarkan untuk kolaborasi ini, saya fikir dahulu. Perlu ambil kira pelbagai aspek. Jualan, kredibiliti dan produk itu sendiri. Kolaborasi melibatkan nama baik ini, saya tidak boleh ambil mudah.

“Tetapi saya lihat, mereka adalah antara usahawan Melayu yang berjaya dan dipercayai. Jadi saya bersetuju.

“Bukan tak mahu keluar jenama baju Melayu sendiri, tetapi saya mahu fokus dengan perniagaan sedia ada,” katanya.

×