fbpx

Azwan Ali Maki Hamun Pegawai DBKL

Nampaknya Azwan Ali atau lebih dikenali dengan gelaran Diva AA seakan tidak pernah lekang daripada kontroversi apabila baru-baru ini pengacara sensasi itu memuat naik video memaki hamun pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Difahamkan, Azwan meluahkan rasa tidak puas hati susulan keretanya telah disaman oleh pihak DBKL sedangkan mesin bayaran parkir di kawasan tersebut rosak.

BACA: DSV Nekad Teruskan Saman Malu Terhadap Azwan Ali

Malah, video yang telah tular di media sosial itu turut memaparkan Azwan telah pun meninggalkan nota di cemin kereta memaklumkan mesin bayaran parkir rosak dan tidak dapat membuat pembayaran.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Kesatuan Sekerja ANULAE Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zakaria Abdullah yang meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Azwan Ali itu.

“Saya pelik dengan Diva AA ini. Anggota kita menjalankan tugas. Ada ruang untuk Diva AA terbabit datang berjumpa Pegawai Kompaun dan masa itu ceritalah puas-puas apa sebenar berlaku.

“Negara kita bukan negara komunis. Semua rakyat berhak dan diberi hak untuk bersuara, mendapatkan hak adil walaupun melakukan kesilapan,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Azwan berkata tindakan yang dilakukannya itu berasas dan bukan perkara yang melulu. Ujarya, isu ini sudah lama disuarakan olehnya dan baru kini pihak DBKL tampil memberikan maklum balas.

“Makian saya bukan melulu atau semata-mata nak sembur mana-mana pihak, tapi berdasarkan prestasi mereka yang kalut, hancur, lembap dan apa sahaja yang tak betul di negara kita.

“Jangan main-main dengan Diva AA. Kalau rasa tak nak kena sembur, sila ambil tindakan sebelum saya mengamuk. Itu persoalan saya.

“Kenapa saya dah maki berbulan-bulan, baru DBKL terhegeh-hegeh nak berikan maklum balas. Video itu episod pertama dua bulan lalu. Baru sekarang nak bertindak?,” katanya.

Sementara itu, Azwan berkata dia tidak hairan jika ada mana-mana pihak mahu mengambil tindakan terhadapnya. Katanya lagi, dia berasa bangga kerana tindakannya mendapat sokongan ramai pihak yang sudah lama bersabar dengan kerenah DBKL.