fbpx

Azlee Khairi Akui Sudah Berkahwin Kali Kedua

Selepas setahun mendirikan rumah tangga, pelakon Azlee Khairi akhirnya mengesahkan dia sudah pun berkahwin kali kedua secara rahsia pada Januari tahun lalu.

Kisah perkahwinan rahsia Azlee ‘terbongkar’ apabila pelakon itu memuat naik video sambutan hari lahir anaknya di media sosial, beberapa hari lalu.

BACA: Azlee Khairi Akui Bukan Suami Orang Lagi

Meluahkan rasa syukur dipertemukan jodoh dengan isterinya Dhiya juga seorang kru penerbangan, Azlee berkata ini merupakan perkahwinan kedua buat isterinya juga yang turut memiliki seorang cahaya mata dari perkahwinan terdahulu.

“Saya dah selamat bernikah kali kedua pada Januari tahun lalu. Alhamdulillah, saya bertemu jodoh dengan wanita yang boleh terima diri saya seadanya dan kami sudah pun menimang cahaya mata.

“Menerusi perkahwinan kami, alhamdulilah Allah kurniakan seorang bayi lelaki yang kini berusia lima bulan. Syukur kehidupan berkeluarga saya sudah lengkap dengan kehadiran isteri dan anak-anak,” katanya.

Menurut Azlee dia memilih untuk merahsiakan mengenai perkahwinannya itu bagi menghormati permintaan isteri tersayang dan keluarga masing masing. Tambahnya lagi, majlis pernikahan mereka diadakan secara atas talian sahaja.

“Kami bernikah dalam majlis diadakan secara atas talian (online) dan sederhana pada Januari, tahun lalu. Ia dibuat pun hanya membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara dari kedua belah pihak kami saja.

“Apapun, dengan penjelasan ini diharap agar spekulasi yang timbul berakhir. Saya juga tak boleh berkongsi butiran tepat mengenai isteri kerana dia tak gemar dan menyenanginya,” katanya.

Terdahulu, Azlee pernah berkahwin dengan wanita dari Brunei dikenali Dayang Norlelawati Puteh pada 2014 namun jodoh mereka tidak panjang apabila pelakon itu mendakwa sudah bercerai dan dia akhirnya balik ke Malaysia pada November 2019.