fbpx

Azira Shafinaz Tak Kisah Jodoh Lelaki Berstatus Duda Seperti Sharnaaz

Gara-gara pelakon Sharnaaz Ahmad sering meninggalkan komen di Instagram penyanyi dan aktres Azira Shafinaz, timbul spekulasi mendakwa mereka menjalin cinta dalam diam.

Meskipun sering dikaitkan dengan pelakon berstatus duda itu, Azira Shafinaz bagaimanapun menjelaskan hubungannya dengan Sharnaaz hanya kawan.

BACA: Sharnaaz Ahmad Risau Azira Shafinaz Berjemur Tengah Panas

“Saya tiada benda pun nak cerita sebab memang kami tiada apa-apa hubungan sebab hanya kawan. Mungkin orang di luar sana suka padan-padankan kami. Selagi tiada perkataan ‘ya’ keluar daripada mulut saya, memang kami cuma kawan. Saya sendiri pun tak mampu nak tutup mulut orang,” katanya.

Ditanya sama ada Sharnaaz memiliki ciri-ciri lelaki idamannya, anggota kumpulan Defam itu memberitahu dia mementingkan sifat kesefahaman antara satu sama lain.

“Saya tak pasti tentang ciri-ciri pada Sharnaaz tetapi saya jenis mementingkan seorang yang boleh bertoleransi dan memahami diri ini seadanya.

“Itu saja yang saya minta sebab kalau terlalu memilih nanti, sampai bila-bila pun tak kahwin. Apapun semuanya kuasa Allah SWT,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azira berkata dia tidak memandang status seorang lelaki yang hendak dijadikan sebagai seorang suami serta menerima lelaki berstatus duda seperti Sharnaaz.

“Saya bukan jenis melihat status, yang penting dia boleh serasi dan menerima diri serta keluarga saya seadanya. Jadi saya okey sahaja untuk menerima seorang lelaki sebegitu, bukan sahaja Sharnaaz,” katanya.