Membesarkan anak dengan cara moden sehingga aksi dan penampilan anak perempuannya iaitu Kasih Iris Leona menimbulkan rasa kurang senang di kalangan netizen, pelakon Azhar Sulaiman akui kesilapannya itu.
Namun, Azhar berkata sebagai ketua keluarga dia masih cuba berusaha untuk memperbetulkan apa yang patut dalam bimbingan dan didikannya. Malah, dia turut menasihati anaknya serta kembali mendekatkan diri dengan Islam.
BACA: Anak Azhar Sulaiman Menangis, Terkilan Asyik Dikecam
“Saya akui kami hidup dalam keluarga yang agak moden dan ‘urban’ sejak dari awal lagi. Jadi apa yang berlaku pada anak-anak saya mungkin saya galas kesilapan saya sendiri.
“Saya ambil pengajaran ini untuk membentuk anak saya menjadi seorang yang baik sehingga tiada ruang untuk netizen kecam. Saya juga nasihati mereka jika buat kesilapan itu cuba perbetulkannya dan kembali mendekatkan diri dengan Islam.
“Apa-apa pun marilah berharap agar mereka mengambil langkah yang selamat dalam apa jua yang mereka lakukan. Insya-Allah mereka pasti sedar,” katanya kepada Gempak.
Sebelum ini hangat diperkatakan mengenai Leona yang dikecam gara-gara membuat video TikTok ketika berada di dalam kelas, Azhar mengakui bahawa anaknya itu belum matang.
“Saya rasa dia masih muda dan kadang-kadang belum matang untuk mengawal situasi yang dihadapinya. Sepatutnya dia tidak perlu menjawab atau balas kembali teguran dari netizen itu,” katanya lagi.
Azhar berkahwin dengan isterinya, Chempaka Emalin Pahamin dan mereka dikurniakan sepasang kembar Leona dan Andika Rees Pahamin serta Kasih Leia Ixora yang berusia 21 tahun.