fbpx

Ayda Jebat Selamat Lahirkan Bayi Perempuan

Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyanyi Ayda Jebat yang selamat melahirkan anak pertama, cahaya mata perempuan di sebuah pusat perubatan, di sini, jam 7.07 malam tadi.

Berita gembira itu dimaklumkan oleh suaminya, Nabil Mahir yang meluahkan rasa syukur proses kelahiran anak mereka itu dipermudahkan.

BACA: Tunggu Waktu Bersalin, Berat Ayda Jebat Hanya Naik 8 Kg

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Ayda selamat melahirkan anak pada jam 7.07 malam seberat 2.77 kilogram,” katanya.

Petang tadi, menerusi akaun Instagram Ayda memaklumkan  bakal melahirkan bayi sulungnya secara pembedahan seminggu lebih awal dari tarikh yang dirancang.

“Assalamualaikum semua. Insya-Allah ‘baby wuvv’ (gelaran bayinya) akan keluar petang ini. Seminggu awal dari tarikh yang dirancang. Mohon maaf kalau ada salah dan silap. Doakan saya dan bayi sihat serta selamat. Amin,” tulisnya.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari lalu selepas mengikat pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).