fbpx

Awas! Hati-hati Dengan Aktiviti Nasihat Pelaburan Tidak Berlesen

Sejak Mac 2020, walaupun terdapat kawalan pergerakan, pelabur runcit baharu mula menjalankan pelaburan mereka melalui platform dagangan saham, mata wang kripto serta pelaburan hartanah secara dalam talian dan manual.

Kalau anda perasan, platform pelaburan digital sekarang ini dah semakin popular berikutan terjadinya wabak COVID-19.

Justeru itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak hanya duduk diam. Mereka pun mula mengambil inisiatif untuk memperluaskan akses kepada pembiayaan dan produk pelaburan yang menjadi penyebab utama pelabur runcit kembali kepada platform digital.

Seiring dengan peningkatan penyertaan runcit, permintaan terhadap nasihat pelaburan pun sekarang ini semakin tinggi.

Ketika kawalan pergerakan, kebanyakan pelabur runcit berpeluang untuk memahami dan mempelajari mengenai ekuiti, yang telah meningkatkan aktiviti dagangan.

Dan disebabkan ini juga lah bilangan mereka yang mengaku sebagai penasihat pelaburan, serta skim penipuan platform dalam talian semakin meningkat! Bahaya betul kan?

Ramai Tertipu!

Ramai individu, sama ada secara tidak sedar atau dengan sengaja, menawarkan nasihat pelaburan yang merupakan aktiviti berlesen yang dikawal selia.

Sesetengahnya menggunakan media sosial sebagai saluran kepada pengurusan kekayaan atau homogenisasi pasaran kewangan.

Tapi sudah tentu ianya mempunyai risiko, terutamanya kepada pelabur runcit.

Kalau anda nak tahu, ramai ‘guru pelaburan’ dalam talian atau melalui WhatsApp cuba mendekati dan meminta mangsa mereka membuat pembayaran tanpa memeriksa terlebih dahulu sama ada mereka benar-benar layak untuk memberikan nasihat pelaburan.

Paling padu, mereka ni menggunakan pendekatan tersendiri untuk ‘memukau’ mangsa.

Oleh itu, adalah penting untuk kita tahu pihak yang boleh kita rujuk atau ketahui cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Tingkatkan Kesedaran

Tahun ini, SC ada menganjurkan InvestSmart® Fest acara secara maya yang memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelabur untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ini dan penasihat pelaburan yang tidak berlesen. Tempah tempat anda secara PERCUMA sekarang di LINK INI.

Acara maya tahunan ini bermatlamat untuk mendidik rakyat Malaysia untuk menjadi pelabur yang bermaklumat dengan mengetahui tentang pelbagai peluang pelaburan dalam pasaran modal dan memahami cara melindungi diri daripada penipuan pelaburan dan skim pelaburan haram.

Acara selama 3 hari ini bertemakan #JagaDiri #JagaPelaburan yang bertujuan untuk meningkatkan pemerkasaan pelabur bagi membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan yang tepat.

Dan yang paling penting untuk mengelakkan anda menjadi mangsa penipuan yang semakin meningkat.

Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang mendapatkan rundingan perancangan kewangan dalam talian secara PERCUMA bersama perancang kewangan berlesen dalam sesi #FinPlan4U yang diadakan pada 4 hingga 10 Oktober ini.

1. Sesi percuma secara perseorangan selama 1 jam bersama perancang kewangan yang dilesenkan oleh SC.
2. Pengalaman secara langsung peranan perancang kewangan dan cara memperoleh manfaat daripada mereka.
3. Sesi kaunseling mengenai pengurusan kewangan atau mengenai isu-isu tertentu yang berkaitan dengan kewangan peribadi.

Bagus sangat untuk anda ambil bahagian dalam sesi macam ini. Anda boleh ketahui cara merancang kewangan anda dengan menempah sesi anda sekarang di LINK INI.

Nak belajar cara untuk masa depan kewangan yang stabil, tonton video di bawah.




Hati-hati dengan Penasihat Pelaburan Tidak Berlesen

Untuk info anda, pada 2020, SC menerima aduan dan pertanyaan terhadap 19 penasihat pelaburan yang berkemungkinan tidak berlesen berbanding 10 pada 2019, yang menunjukkan kenaikan sebanyak 90%.

Peningkatan ini berterusan pada 2021 di mana pada bulan Jun sahaja, aduan diterima terhadap 65 penasihat pelaburan tidak berlesen. Peningkatan sebanyak 242% berbanding pada tahun sebelumnya. Gila betul.

Menurut SC, memberi nasihat pelaburan tanpa lesen adalah satu kesalahan di bawah undang-undang sekuriti dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Jadi, kalau lah anda ada angan-angan nak scam orang tu dah boleh fikir banyak kali dah. Kalau kena tangkap memang naya jawabnya!

Tingkatkan Pengetahuan Anda!

Nak jadi penasihat pelaburan ini bukan main beri ayat manis saja yer. Memberi nasihat pelaburan, sama ada melalui saluran formal seperti laporan penganalisis atau platform media sosial seperti Facebook dan Telegram, dianggap sebagai salah satu daripada tujuh aktiviti yang dikawal selia di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Sesiapa yang menjalankan aktiviti tersebut perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh SC.

Sebagai permulaan, anda sebagai pelabur harus meningkatkan pengetahuan kewangan anda mengenai pelaburan dan hak anda sebagai pelabur melalui laman info InvestSmart.

Anda juga boleh merujuk Senarai Peringatan Pelabur SC untuk menyemak syarikat dan individu yang tidak sah atau tidak berlesen sebelum membuat keputusan pelaburan.

Satu pesanan penting dari SC, untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, jangan membuat sebarang pembayaran atau memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi mana-mana individu untuk tujuan pelaburan. Ingat tu.

Sepanjang beberapa bulan lalu jer, SC telah memberi peringatan kepada pengendali webinar, seminar dalam talian, media sosial, dan bilik sembang aplikasi pesanan yang lain agar berhenti menjalankan aktiviti nasihat pelaburan tidak berlesen.

Walaupun pihak pengawal selia boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan tidak sah, tiada jaminan pelabur akan dapat memperoleh kembali wang mereka daripada penipu.

Sebelum ini, SC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang menjalankan skim pelaburan haram melalui sekatan pentadbiran dan tindakan penguatkuasaan sivil atau pendakwaan jenayah.

Oleh itu, anda sebagai pelabur sendiri harus berwaspada dan bertanggungjawab ke atas pelaburan anda sendiri dan berhati-hati dengan risiko apabila mengambil bahagian dalam mana-mana skim pelaburan.

Sebabnya anda boleh tertipu atau dipergunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran.

Penasihat Berlesen Juga Perlu Ada Tanggungjawab

Kredit: ©ferli/ 123RF

Selain itu, penasihat berlesen juga diingatkan bahawa mereka mempunyai kewajipan (menurut Common Law dan undang-undang kontrak) kepada pelanggan mereka.

Justeru, mereka hendaklah melaksanakan ketelitian profesional yang sewajarnya ketika memberi nasihat kepada pelanggan mereka. Sekiranya mereka melanggar tugas atau kewajipan kontrak, mereka boleh dikenakan tuntutan sivil atas kelalaian dan pelanggaran kontrak.

Ketika melabur, berurusan hanya dengan individu atau entiti yang dilesenkan oleh SC untuk mengelakkan daripada menerima nasihat daripada individu yang tidak layak dan terdedah kepada skim penipuan.

Ketahui lebih lanjut mengenai cara untuk melindungi diri anda ketika melabur dengan menyertai acara dalam talian InvestSmart® Fest pada 8 hingga 10 Oktober 2021.

Di samping itu, rebutlah peluang memenangi baucar dalam talian melalui hadiah cabutan bertuah dan kuiz pop yang diadakan sepanjang acara tersebut.

Yang perlu anda lakukan adalah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam acara ini dari rumah anda sendiri sahaja. Tak payah susah-susah nak keluar okay.

Pendaftaran untuk InvestSmart® Fest 2021 sudah pun dibuka. Tempah tempat anda secara PERCUMA sekarang di LINK INI.