fbpx

Awal Ashaari & Scha Alyahya Bawa Anak Bercuti Ke Jepun Jika Puasa Penuh

Pelakon dan pengacara Awal Ashaari berkongsikan akan membawa anak perempuannya, Lara Alana bercuti ke Jepun jika berjaya berpuasa penuh tahun ini.

Memetik mStar Online, Awal berkata janji itu dibuat sebagai salah satu cara untuk mendidik anaknya berusia lapan tahun itu berpuasa penuh.

BACA: Awal Ashaari Tak Paksa Scha Alyahya Bertudung

“Saya dan isteri sebenarnya umpan Lara dengan beritahu kalau dia berjaya puasa penuh, kami akan bawa dia bercuti ke Jepun sebab dia suka Mario, jadi kami rancang nak bawa dia berjalan ke Mario World di Osaka, Jepun.

“Kebetulan lepas raya nanti memang kami nak bercuti ke Jepun, jadi alang-alang gunakan alasan itu untuk umpan dia.

“Tapi kadang-kadang dia risau juga sebab dia tanya kalau tak berpuasa penuh adakah masih boleh ke Jepun? Kami jawab boleh saja,” katanya.

Dalam pada itu, Awal berkata dia tidak memaksa Lara untuk berpuasa penuh selama satu hari kerana ia merupakan proses pembelajaran namun tetap menekankan puasa adalah ibadah wajib untuk umat Islam.

“Walaupun janjikan ganjaran, tetapi kami tetap berpesan pada Lara yang puasa ini adalah kewajipan, kami ajar dia secara perlahan-lahan. Tidak memaksa pun, kalau dia tidak larat tidak mengapa. Proses belajar dan mendidik diri.

“Kalau tahun lalu, Lara puasa macam setengah hari sahaja, tapi alhamdulillah tahun ini dia berpuasa penuh. Kami nampak dia lebih bersedia dan tenang, malah tenaga dia juga banyak, pergi tuisyen, nampak peningkatan,” katanya.